Pages

Sunday, May 13, 2012

Bekas abang ipar aktres Dreamgirls bersalah kes bunuh

Kosmo! Online - Dunia:


KELUARGA dan rakan Jennifer Hudson meninggalkan bilik perbicaraan Mahkamah Jenayah Daerah Cook di Chicago kelmarin.


CHICAGO, Amerika Syarikat (AS) – William Balfour yang merupakan bekas abang ipar bintang filem Dreamgirls, Jennifer Hudson (gambar) didapati bersalah membunuh ibu mertua, adik lelaki dan anak saudara aktres berkenaan.
Balfour boleh dipenjara seumur hidup kerana jenayah tersebut.
“Ini pembunuhan kejam tanpa rasa kasihan terhadap tiga orang termasuk seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang baru pulang dari sekolah,” kata pendakwa raya, Attorney Anita Alvarez kelmarin.
“Kami amat berpuas hati dengan keputusan juri,” tambahnya.
Balfour, 31, dituduh menembak mati ibu Hudson, Darnell Donerson, 57, adik lelakinya, Jason Hudson, 29, dan anak saudaranya, Julian King pada Oktober 2008.
Balfour turut menyembunyikan mayat anak tirinya untuk menutup jenayah tersebut.
Pihak pendakwa raya menyatakan, Balfour meluru ke rumah keluarga Hudson di sini dan menembak mati semua penghuninya dengan sepucuk pistol selepas bertengkar dengan isterinya, Julia.
Wanita itu bercerai selepas pembunuhan tersebut berlaku.
Ketika kejadian, kakak Hudson itu terselamat kerana berada di tempat kerja.
Setibanya dia di rumah, Julia terkejut melihat ibunya yang sudah tidak bernyawa, terbaring berlumuran darah di lantai.
Dengan spontan, dia berlari keluar untuk menghubungi pihak polis tanpa menyedari adik lelakinya, Jason juga sudah mati manakala anaknya pula hilang.
Mayat Julian ditemui di dalam kenderaan utiliti sukan milik Jason yang ditinggalkan di kawasan bandar raya ini, tiga hari selepas kejadian.
Pendakwa raya memberitahu, Balfour membawa Julian keluar dan menembak mati anak tirinya di dalam kenderaan SUV tersebut.
Dalam pada itu, Hudson, 30, dan Julia tidak dapat menahan sebak apabila seorang juri membacakan keputusan kes tersebut.
“Kami menerima sokongan dan kasih sayang daripada orang ramai di seluruh dunia sepanjang perbicaraan selama 14 hari ini dan kami amat berterima kasih,” kata Julia.
Terdahulu, pihak peguam bela Balfour berhujah bahawa mangsa mungkin dibunuh oleh sindiket dadah ekoran Jason pernah terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
Hudson, 30, terkenal selepas menjadi finalis program pencarian bakat nyanyian popular, American Idol pada tahun 2005. – AFP

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment