Pages

Wednesday, May 2, 2012

12 rumah rosak dilanda ribut

12 rumah rosak dilanda ribut - Kelantan - Sinar Harian:


12 rumah rosak dilanda ribut
Ruang tamu rumah Zainab rosak teruk
MACHANG - Ribut yang didakwa berbentuk pusaran angin dengan campuran air dan desiran kuat menggemparkan penduduk Kampung Kerilla, dekat sini apabila merosakkan kira-kira 12 rumah penduduk, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiga rumah mengalami kerosakan teruk apabila sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian itu.
 
Mangsa, Zaiton Zakaria berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas, dalam masa tiga minit hampir semua zink rumahnya diterbangkan angin.

Katanya, dia hanya fikirkan mati dan sedaya upaya melindungi cucu dan anak jiran yang dijaganya agar tidak ditimpa kayu, struktur bumbung rumahnya.

“Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu tambahan pula anak jiran yang saya jaga ini baru berusia tiga bulan. Anak saya yang mengandung pula bersembunyi di sebalik pintu bilik.

“Angin itu seolah-olah mengangkat bumbung rumah kami. Tiada apa yang saya mampu selamatkan, semua kelengkapan rumah basah akibat kejadian itu,” katanya yang juga ibu tunggal.

Zaiton berkata, dia dan keluarga terpaksa menumpang di rumah keluarga terdekat memandangkan rumahnya rosak teruk.
 
Seorang warga emas, Zainab Mat yusof, 71, berkata, sebelum kejadian dia melihat pusaran angin mendekati rumahnya dari pintu dapur.

Katanya, dia dan keluarga berkumpul di bahagian dapur ketika kejadian bagi menyelamatkan diri.

“Memang menakutkan apatah lagi inilah kali pertama mak cik menghadapinya seumur hidup mak cik. Kami terimanya sebagai dugaan ALLAH dan berharap ada pihak yang sudi membantu mengurangkan kesusahan kami.

“Selain bumbung rumah, banyak pokok buah-buahan penduduk musnah yang mana menyebabkan bekalan elektrik terputus sekejap apabila kabelnya ditimpa pokok,” katanya.
 
Seorang penduduk, Abdul Rahman Mohamad, 40, berkata, jika sebelum ini hanya satu hingga dua keping zink sahaja diterbangkan angin akibat ribut, namun keadaannya jauh berbeza pada kejadian ini.

Katanya, bahagian ruang tamu dan dapur rumahnya rosak teruk akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kerilla, Adnan Deraman berkata, penduduk mengalami kerugian teruk akibat kejadian itu.

Katanya, selain rumah, banyak tanaman juga musnah sekali gus menggemparkan penduduk apabila dikatakan kali pertama berlaku kejadian seumpamanya itu.

No comments:

Post a Comment