Pages

Wednesday, April 4, 2012

Thailand tolak rundingan damai


BANGKOK: Kerajaan Thailand menolak mengadakan rundingan damai dengan kumpulan pemisah di selatan negara itu ekoran serangan bom yang berlaku di wilayah berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Mengadakan dialog dengan satu daripada kumpulan pemisah boleh mendorong kumpulan lain melakukan serangan untuk menunjukkan kekuatan mereka,” kata Timbalan Perdana Menteri Yutthasak Sasiprapa. “Saya ingin menegaskan kerajaan tidak ada dasar untuk terbabit dalam rundingan damai,” kata Sasiprapa yang juga jeneral tentera yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan negara. Suspek anggota pemisah bertanggungjawab terhadap satu siri letupan bom kereta di selatan negara itu Sabtu lalu yang membunuh 15 orang dan mencederakan ratusan lagi. Di bandar Yala, dua letupan membunuh 12 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain, manakala bom kereta di sebuah hotel di Hatyai mencetuskan kebakaran dan mengorbankan tiga orang serta mencederakan lebih 400 yang lain, menurut angka rasmi terbaru. Serangan itu menandakan kegiatan kumpulan pemisah yang kian berleluasa yang telah mengorbankan ribuan nyawa sejak 2004.

Kejadian letupan bom atau tembakan yang sering berlaku hampir setiap hari mensasarkan tentera dan orang awam serta umat Islam dan juga penganut Buddha. Ketua Jeneral tentera Thailand, Prayut Chan-O-Cha semalam berkata, lebih 3,000 anggota pemisah terbabit dalam kejadian keganasan di negara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment