Pages

Monday, April 23, 2012

Teheran tiru dron AS

myMetro | Teheran tiru dron AS:


TEHERAN: Seorang komander tentera Iran semalam berkata, Republik Islam itu sedang membina pesawat tanpa juruterbang berdasarkan model keluaran Amerika Syarikat yang ditawan Disember tahun lalu.
Jeneral Amir Ali Hajizadeh juga mendedahkan “kod” yang berjaya diperoleh dari pesawat berkenaan.

“Saya memberikan anda empat kod supaya AS memahami sejauh mana kami berjaya menerobos rahsia pesawat itu,” katanya.
Menurut Ketua Bahagian Angkasa Pengawal Revolusi Iran itu, pada Oktober 2010 pesawat berkenaan dihantar ke California atas masalah teknikal dan dibaik pulih.

Selepas ujian penerbangan dilakukan, ia dibawa ke Kandahar, Afghanistan, pada November 2010 tetapi beberapa masalah teknikal masih berlaku.

“Pada Disember 2010, ia dihantar ke sebuah lapangan terbang berhampiran Los Angeles untuk memperbaiki peralatan dan pengesan serta ujian penerbangan.
“Pesawat itu kemudian dihantar semula ke Kandahar,” katanya.

Amir Ali bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut.
Katanya, pesawat itu kini menjadi harta negara dan maklumat mengenainya tidak boleh didedahkan.

Amir Ali juga berkata, Iran mula menghasilkan pesawat seumpama model RQ-170 milik AS itu.

“Kami menggunakan teknologi sama seperti pesawat pejuang dan pengebom AS,” katanya.

Pesawat RQ-170 Sentinel AS itu terhempas di Iran empat bulan lalu dan Teheran mempamerkannya kepada umum melalui televisyen.

Teheran mendakwa, satu daripada pasukan serangan sibernya berjaya menggodam kawalan pesawat itu dengan mengelirukan alat panduannya. - AFP

No comments:

Post a Comment