Pages

Friday, April 27, 2012

Serangan baru di Sudan Selatan



Seorang pekerja memerhatikan kerosakan akibat serangan udara tentera Sudan di pusat petroleum utama bandar Heglig, yang bersempadan dengan Sudan Selatan, kelmarin. - AFP
NEW YORK 25 April - Sekurang-kurangnya 16 penduduk awam terbunuh dan 34 lagi cedera dalam serangan udara tentera Sudan ke atas wilayah Sudan Selatan, semalam.
Serangan itu dikecam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengulangi gesaan supaya gencatan senjata diadakan antara kedua-dua negara berseteru itu, pada akhir sidang tergempar mengenai konflik yang semakin marak itu.
Serangan udara Sudan ke atas negeri Unity di Sudan Selatan menyusuli pengunduran tentera Sudan Selatan dari bandar minyak Heglig.
"Misi PBB di Sudan Selatan (UNMISS) mengesahkan sekurang-kurangnya 16 penduduk awam terbunuh dan 34 lagi cedera, manakala infrastruktur mengalami kerosakan besar di negeri Unity akibat pengeboman dari udara," kata Duta AS ke PBB, Sudan Rice, semalam.
Rice yang bercakap selaku Presiden Majlis Keselamatan bagi April berkata, anggota Majlis Keselamatan juga diberitahu tentera Sudan melakukan pencerobohan ke atas negeri Unity.
Majlis Keselamatan menyambut baik pengunduran tentera Sudan Selatan dari Heglig, menuntut pengeboman dari udara dihentikan oleh angkatan bersenjata Sudan, gencatan senjata diisytiharkan dan kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan, kata Rice.
Majlis Keselamatan juga mengutuk serangan ke atas pasukan pengaman PBB-Kesatuan Afrika di wilayah Darfur, barat Sudan, yang menyebabkan seorang anggota polis dari Togo maut dan tiga lagi cedera.
"Anggota Majlis Keselamatan menyeru kerajaan Sudan supaya membawa penyerang ke muka pengadilan dan menegaskan bahawa mereka yang menyerang pasukan pengaman tidak boleh lagi dibiarkan bebas daripada hukuman," kata Duta AS itu. - AFP

No comments:

Post a Comment