Pages

Saturday, April 14, 2012

Sekutu Hosni diharam tanding

KAHERAH: Parlimen Mesir semalam meluluskan undang-undang yang mengharamkan anggota pentadbiran rejim Hosni Mubarak bertanding merebut jawatan awam.
Keputusan itu adalah perkembangan terbaru dalam kemelut politik negara itu.

Undang-undang berkenaan yang perlu diluluskan oleh Majlis Tentera yang memerintah sementara Mesir, akan menyaksikan bekas pegawai, termasuk bekas ketua perisikan, Omar Suleiman, (gambar) dilarang bertanding pada pilihan raya presiden bulan depan.

Pindaan terhadap undang-undang kegiatan politik itu mengharamkan mana-mana presiden, naib presiden, perdana menteri atau pemimpin atau anggota kanan Parti Demokratik Kebangsaan yang sudah dibubarkan daripada bergiat cergas dalam politik selama 10 tahun,” kata anggota Parlimen pada sesi sidang yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Ia dikuatkuasakan terhadap pegawai era Hosni yang berkhidmat pada dekad lalu hingga ke tarikh beliau digulingkan.

Ini bermakna, Ahmed Shafiq, perdana menteri terakhir yang berkhidmat dengan Hosni, juga tidak layak bertanding.

Bekas ketua perisik, Omar Suleiman yang dilantik menjadi naib presiden oleh Hosni pada minggu-minggu terakhir pemerintahannya, menegaskan sebelum ini, pencalonannya untuk jawatan presiden akan mengembalikan kestabilan di negara itu.

Ketika mengumumkan pencalonannya, bekas jeneral itu cuba untuk menjauhkan dirinya dengan Hosni.
“Jika saya pernah menjadi ketua perisikan dan kemudian naib presiden, itu tidak bermakna saya adalah sebahagian daripada rejim yang ditentang oleh rakyat,” katanya dalam wawancara sebelum mengemukakan pencalonannya.

Majlis Tinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih pemerintahan selepas penggulingan Hosni berkata, ia akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam Jun ini selepas presiden baru dipilih.

Pendaftaran untuk jawatan tertinggi di Mesir itu ditutup Ahad lalu. - AFP
-metro

No comments:

Post a Comment