Pages

Sunday, April 8, 2012

Salji runtuh timbus lebih 100 askar Pakistan

Kosmo! Online - Dunia:

Salji runtuh timbus lebih 100 askar Pakistan


GAMBAR fail 19 Februari 2012 menunjukkan askar-askar Pakistan membawa bekalan ke sebuah pos terpencil pada ketinggian 2,400 meter di Banjaran Himalaya.


ISLAMABAD - Satu runtuhan salji telah mengenai sebuah pangkalan tentera Pakistan yang dibina di atas glasier Banjaran Himalaya dekat sempadan India semalam dan menyebabkan lebih 100 askar tertimbus, kata pihak tentera.
Tentera Pakistan dalam satu kenyataan memberitahu, beberapa buah helikopter, anjing pengesan dan pasukan tentera dikerahkan ke Glasier Siachen untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Menurut seorang pegawai keselamatan, salji runtuh itu mengenai ibu pejabat sebuah batalion di sektor Gayari di atas glasier berkenaan pada pukul 5.45 pagi waktu Pakistan.
Siachen terletak di bahagian utara wilayah Kashmir yang dituntut oleh India dan Pakistan.
Kedua-dua negara menempatkan ribuan askar yang terpaksa mengharungi suhu sejuk ekstrem, tekanan altitud dan angin kencang selama beberapa bulan di lokasi tersebut.

GAMBAR fail pada Mei 2003 menunjukkan Glasier Siachen yang terletak dekat sempadan Pakistan-India.


Pasukan tentera ditempatkan pada ketinggian hingga 6,700 meter dengan beberapa pertempuran kecil berlaku sejak tahun 1984 walaupun lokasi tersebut kini tenang selepas satu gencatan senjata dimeterai pada tahun 2003.
Glasier berkenaan sebelum ini dikenali sebagai medan tempur tertinggi di dunia.
Ibu pejabat di Gayari merupakan pintu utama untuk tentera Pakistan menyalurkan askar dan bekalan ke pos-pos kawalan yang lebih terpencil di sektor berkenaan.
Menurut seorang pegawai yang pernah bertugas di ibu pejabat berkenaan pada tahun 2003, pangkalan tersebut terletak di sebuah lembah di antara dua buah gunung yang tinggi.
"Saya tidak faham bagaimana salji runtuh boleh mengenai kawasan itu. Ia sepatutnya selamat kerana berada pada altitud tinggi," katanya.
Konflik di Siachen bermula pada tahun 1984 apabila India menawan puncak glasier sepanjang 78 kilometer itu kerana bimbang Pakistan mahu menuntut wilayah berkenaan.
Pakistan turut menghantar askar ke sektor tersebut.
Pakistan dan India berperang tiga kali sejak benua kecil India itu dibahagi dua apabila kedua-dua negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1947.
Dua perang tersebut melibatkan perebutan wilayah Kashmir yang dituntut secara keseluruhan oleh India dan Pakistan. - AP

No comments:

Post a Comment