Pages

Tuesday, April 3, 2012

Russia anggap mesyuarat Syria gagal atasi konflik


PENYOKONG Bashar memberi tabik hormat tentera ketika mengadakan demonstrasi di depan Kongres Istanbul, semalam.
PENYOKONG Bashar memberi tabik hormat tentera ketika mengadakan demonstrasi di depan Kongres Istanbul, semalam.
MOSCOW: Russia semalam menyifatkan mesyuarat ‘Sahabat Rakyat Syria’ di Istanbul hujung minggu lalu bercanggah dengan objektif mendapatkan penyelesaian perdamaian yang boleh mengakhiri pertumpahan darah lebih setahun. 

“Janji dan niat untuk menghantar bantuan tentera serta logistik secara terus kepada pembangkang bersenjata yang disuarakan di Istanbul memang tidak disangkal lagi bercanggah dengan sasaran untuk penyelesaian perdamaian kepada konflik awam di Syria,” kata kementerian luar Russia dalam satu kenyataan. Negara Barat dan Arab kelmarin meminta Presiden Syria Bashar al Assad menetapkan tarikh tamat untuk memenuhi syarat pelan damai yang dikemukakan perantara antarabangsa, Kofi Annan.
Mesyuarat itu turut mengiktiraf pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) sebagai wakil sah untuk rakyat Syria dan mengetuai teman bicara bagi pembangkang dengan komuniti antarabangsa. 

SNC kemudian mengumumkan rancangan untuk membayar gaji pejuang Tentera Pembebasan Syria (FSA) sementara negara seperti Arab Saudi dan Qatar bersetuju membayar beberapa juta dolar ke dalam dana FSA. Russia berkecuali daripada menyertai persidangan dan berkata ia bertukar menjadi berat sebelah seperti yang dibimbangkan Moscow. 

“Malangnya, mesyuarat di Istanbul adalah berat sebelah seperti perjumpaan sebelum ini. Senarai peserta tidak memasukkan kerajaan Syria atau banyak lagi kumpulan pembangkang berpengaruh Syria,” kata kenyataan itu lagi. 

Russia turut mengesahkan sokongannya kepada inisiatif Annan dan berkata ia akan terus cuba mencapai gencatan senjata dan mengakhiri keganasan kedua pihak. 
Sementara itu, akhbar Syria semalam berkata pertemuan di Istanbul yang digelar ‘Musuh Syria’ adalah kegagalan bagi pihak yang mahu menggulingkan Assad. 

“Walaupun digembur-gemburkan, persidangan ‘Musuh Syria’ itu hasilnya tidak seberapa, sebaliknya menunjukkan ia tidak mampu menggugat keengganan Syria menerima campur tangan asing,” kata akhbar al Baath, lidah rasmi parti pemerintah Assad. 

Di bawah tajuk ‘Satu lagi kegagalan’ ia menyatakan peserta akhirnya mengiktiraf ketahanan rakyat Syria, pembaharuan (ikrar kerajaan) dan menggandakan veto oleh Russia dan China..membolehkan Syria mengatasi krisis dan memenangi peperangan. – AFP

No comments:

Post a Comment