Pages

Monday, April 16, 2012

Puting beliung landa 5 negeri Amerika

SEBUAH kediaman rosak akibat puting beliung di Thurman, Iowa.
SEBUAH kediaman rosak akibat puting beliung di Thurman, Iowa.

Lima maut taufan mengganas di Oklahoma, Kansas, Nebraska, Iowa dan Wichita 

KANSAS CITY: Sekurang-kurangnya 12 puting beliung melanda sebahagian kawasan negeri Oklahoma, Kansas, Nebraska dan Iowa kelmarin sebelum melalui Kansas dan tempat lain menyebabkan lima terbunuh dan merosakkan sedikit harta benda awam di kawasan dataran tengah dan selatan Amerika Syarikat.


Lima terbunuh apabila satu puting beliung melanda barat laut bandar Woodward di Oklahoma semalam. Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Keli Cain, berkata pejabat pemeriksa perubatan negeri mengesahkan kematian itu.

Datuk Bandar Woodward, Roscoe Hill berkata dia tidak mendengar loceng amaran dibunyikan mengenai puting beliung yang melanda jam 12.18 tengah hari waktu tempatan. 

Di Iowa, sebuah hospital di bandar Creston, rosak menyebabkan pesakit dipindahkan ke hospital lain. 

Satu puting beliung juga melalui bandar Wichita, Kansas. 

Pakar meteorologi, Brandon Redmond, bersama unit Pasukan Berjaga-jaga Cuaca Buruk, berkata puting beliung itu lalu dengan kenderaannya yang terangkat lebih 60 sentimeter, di selatan Iowa. 
“Puting beliung menyelubungi kenderaan kami. Itu saat paling menakutkan bagi saya,” katanya. 

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, keadaan paling teruk berlaku di Oklahoma, Nebraska dan Kansas. Tempat lain yang dilanda angin kencang membawa batu sebesar besbol. 

Ribut besar juga diramal melanda kawasan dari Texas hingga Minnesota. Agensi cuaca itu juga memberi amaran taufan yang melanda lewat malam lebih bahaya kerana ia kurang disedari disebabkan kegelapan dan hujan. 

Di Dawn, pinggir Oklahoma, satu puting beliung merosakkanteruk sebuah rumah selain menyebabkan pokok tumbang dan memutuskan bekalan elektrik, kata jurucakap pihak berkuasa bandar, Kristy Yager. 

Tahun ini, musim puting beliung melanda Amerika bermula awal dan menjadi punca 57 kematian di kawasan Midwest dan Selatan, menimbulkan kebimbangan ia mengulangi catatan pada 2011 yang terburuk dalam tempoh satu abad. – Reuters

No comments:

Post a Comment