Pages

Friday, April 27, 2012

Polis maut kena tembak rakan

Berita Harian Online | Polis maut kena tembak rakan:


ANGGOTA polis membawa  mayat mangsa  dibawa ke HSB untuk dibedah siasat  di  Istana Anak Bukit, semalam.
ANGGOTA polis membawa mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat di Istana Anak Bukit, semalam.
Mangsa mati di pintu masuk Istana Anak Bukit selepas berselisih faham 

ALOR SETAR: Seorang anggota polis yang bertugas sebagai pengawal di pintu masuk Istana Anak Bukit, dekat sini, mati ditembak rakan setugasnya dipercayai selepas berselisih faham dalam satu kejadian petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, konstabel, Mohd Sobri Md Sidik, 22, yang baru setahun bertugas dalam pasukan itu mati di tempat kejadian, di tepi pintu pagar utama istana selepas ditembak beberapa das dengan M-16.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata ketika kejadian hanya mangsa dan suspek yang berpangkat koperal berada di situ selepas mereka memulakan tugas pada jam 3 petang. 

Difahamkan, mangsa yang masih bujang ditembak pada jarak 10 meter, cedera parah di kepala dan badan. 

Polis turut menemui dua laras M-16, termasuk satu yang dipercayai digunakan dalam kes itu di lokasi kejadian. 

“Seorang daripada penyelia pengawal istana yang bertugas tidak jauh dari situ terdengar bunyi beberapa das tembakan dan apabila dihampiri melihat mangsa sudah terbaring berlumuran darah, manakala suspek pula yang berkereta beredar dari situ. 
“Berikutan itu, polis melancarkan gerakan bagi mengesan suspek berusia 25 tahun dan sudah berumah tangga itu. 

“Suspek kemudian ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) di rumahnya di Simpang Empat, Kangar jam 9 malam ini (tadi),” katanya ketika ditemui di lokasi, malam tadi. 

Motif kejadian masih disiasat dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Ahmad berkata, suspek baru bertugas di istana berkenaan sejak awal bulan ini dan sebelum ini bertugas di kontinjen lain. 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Seri Syed Unan Mashri Syed Abdullah yang ditemui berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 6 petang semalam oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Elmi Yusof. 

“Tuanku amat sedih dengan kejadian yang berlaku itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. 

“Ini adalah kali pertama kes seumpama ini berlaku di Istana Anak Bukit sejak ia beroperasi pada 1936,” katanya.

No comments:

Post a Comment