Pages

Sunday, April 15, 2012

Pengamal LBGT dalang pusat urut gay

KUALA LUMPUR: Kewujudan pusat urut dan spa khusus untuk memuaskan nafsu golongan songsang perlu ditangani segera dengan serius oleh semua pihak.
Mufti Selangor, Datuk Seri Utama Diraja Mohamad Tamyes Abd Wahid berkata, kewujudan pusat sebegitu dipercayai didalangi kumpulan yang mengamalkan lesbian, gay, bisekual dan transgender (LGBT).

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan segera menghalang kegiatan golongan itu sebelum mereka selesa mengamalkannya secara terbuka di khalayak umum.

“Saya percaya LGBT berkait rapat dengan kewujudan pusat sebegini yang kian bertambah di Kuala Lumpur mahupun Selangor.

“Saya khuatir, membiarkan gejala itu tanpa usaha membanteras pengusaha mendirikan pusat urut gay itu bakal memberi kesan negatif terhadap struktur sosial negara.

“Malah, tindakan mereka yang seolah-olah berusaha membuka mata pihak luar untuk menerima gaya hidup liberal sebenarnya tidak relevan meskipun mereka menuntut atas lesen hak kemanusiaan,” katanya.




Tamyes berpendapat, tindakan golongan itu menyediakan pakej urutan bogel serta badan ke badan melanggar hukum penjagaan aurat itu sendiri yang jelas haram menurut Islam.

“Aurat lelaki bermula dari atas pusat hingga ke bawah lutut meskipun dia bersama keluarga seperti anak, bapa mahupun saudara.

“Ini bertujuan melindungi akhlak dan menjaga kehormatan, sekali gus menjamin apa dikatakan oleh agama sebagai maksiat tidak berlaku,” katanya yang turut menasihati pengamal perubatan tradisional supaya tidak terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia, Fadhlina Siddiq menyeru ibu bapa mahupun isteri lebih kerap memantau kegiatan anak mahupun suami.

“Bukan tidak pernah terjadi dalam kes membabitkan masalah rumah tangga wujudnya orang ketiga di luar sangkaan seperti ‘gay partner’.

“Isteri mahupun ibu bapa perlu lebih teliti dengan gerak-geri suami atau anak supaya gejala seperti mengunjungi pusat kesihatan songsang seperti ini ditangani awal,” katanya.

Pihaknya ketika ini melihat rundingan serta sesi kaunseling adalah langkah terbaik untuk menyelamatkan golongan tersasar itu.

“Terus menghukum golongan ini menyebabkan mereka bakal menyisihkan diri berbanding dengan pendekatan kaunseling yang dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mengembalikan lelaki berkenaan ke pangkal jalan,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment