Pages

Wednesday, April 4, 2012

Pekerja bantuan perlu dibenar bantu rakyat Syria


DAMSYIK 3 April - Persatuan Palang Merah Antarabangsa hari ini menggesa kerajaan Syria membenarkan pekerja bantuan membantu tahanan dan orang awam yang berdepan bahaya akibat konflik di negara ini.
Presidennya, Jakob Kellenberger berkata, beliau akan menyertai satu misi baru ke Syria untuk kali ketiga sejak tahun lalu.
Katanya, beliau mendesak Syria supaya memberi lebih ruang kepada pekerja bantuan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang sakit, cedera dan berpindah.
"Tentera Syria perlu menghentikan serangan selama dua jam setiap hari bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan," katanya.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 9,000 orang terbunuh sepanjang pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad tercetus pada tahun lalu.
Penyelesaian diplomasi juga masih gagal menghentikan krisis di negara ini.
Semalam, utusan PBB dan Liga Arab, Kofi Annan berkata, Syria bersetuju untuk mematuhi pelan damai yang diusulkan dan melaksanakan gencatan senjata sebelum minggu depan.
Katanya, Damsyik bersetuju untuk mengundurkan tentera dengan 'segera' dari bandar-bandar penunjuk perasaan dan pengunduran senjata berat akan dilaksanakan selewat-lewatnya 10 April ini.
Wakil PBB dari Syria, Bashar Jaafari turut mengesahkan perkara tersebut selepas persetujuan dicapai antara Annan dan kerajaan.
Bagaimanapun, Annan yang menerangkan perkara itu kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB melalu sidang video berkata, tiada perkembangan terbaru pelaksanaan gencatan senjata dilaporkan setakat ini. - AFP

No comments:

Post a Comment