Pages

Friday, April 13, 2012

Henti bina penempatan haram




Kawasan penempatan haram Yahudi, Kdumim (latar belakang) dilihat ketika penunjuk perasaan Palestin berdepan pasukan polis Israel dalam satu demonstrasi menentang penutupan jalan di kampung Kfar Kadum, berhampiran Nablus, Tebing Barat pada 23 Mac lalu. - Reuters


RAMALLAH 12 April - Ketua perunding Palestin, Saeb Erekat hari ini menegaskan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu mengumumkan pembekuan pembinaan penempatan haram jika mahu berunding secara langsung dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Erekat sekali lagi mengulangi bahawa pembekuan pembinaan penempatan haram dan pembebasan tahanan adalah syarat wajib untuk menyambung semula rundingan secara langsung dengan Palestin.
Beliau berkata demikian selepas kumpulan diplomatik proses damai Asia Barat dari Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia yang dikenali sebagai Kuartet mengalu-alukan rundingan antara Netanyahu dan Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad minggu depan.
Ia merupakan rundingan tahap tinggi pertama melibatkan Israel dan Palestin sejak Januari lalu.
Menurut pejabat Netanyahu, pada rundingan yang berkemungkinan besar diadakan pada Selasa depan di Baitulmaqdis itu, mereka akan mencadangkan supaya rundingan tahap tinggi dan secara langsung dengan Abbas dibuat.
Fayyad merancang untuk memberikan sepucuk surat Abbas kepada Netanyahu berhubung masa depan proses damai dalam rundingan itu nanti.
Wakil Netanyahu, Yitzhak Molcho turut dijangka berjumpa Abbas dan memberikan surat mengenai pendirian Israel, menurut Perdana Menteri Palestin itu.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton; Setiusaha Agung PBB, Ban Ki-moon; Ketua Dasar Luar EU, Catherine Ashton; dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang mewakili Kuartet itu, mengadakan pertemuan di Washington semalam dan membincangkan kaedah untuk menggalakkan dialog.
Kuartet turut menggesa kedua-dua pihak 'mengelak tindakan yang menghakis kepercayaan' dan memberi tumpuan kepada usaha positif yang boleh memperkuat dan memperbaiki persekitaran untuk penyambungan semula rundingan secara langsung. - DPA

No comments:

Post a Comment