Pages

Thursday, April 12, 2012

Gempa terbaru berbeza daripada 2004

WANITA Aceh berpelukan kerana selamat selepas gegaran kuat berlaku di Banda Aceh, semalam.
WANITA Aceh berpelukan kerana selamat selepas
gegaran kuat berlaku di Banda Aceh, semalam.
 

Pakar tak jangka ancaman tsunami bawa kemusnahan seperti gegaran hampir lapan tahun lalu 

BANDA ACEH: Gempa bumi terbaru dengan kekuatan 8.7 skala Richter yang melanda Aceh semalam dijangka tidak disusuli tsunami hingga membawa kematian dan kemusnahan besar seperti yang berlaku pada 2004.
Pakar memberi pandangan dengan berkata, kedua-dua gempa yang berlaku berbeza dari aspek geologi.
Gempa yang berlaku kali ini adalah secara melintang dengan plat tektonik bergeseran menyebabkan gelombang dalam air meningkat sedikit. 

Sejenis lagi gempa membabitkan anjakan besar seperti di Jepun tahun lalu dan pada 2004 menyebabkan dasar laut bergegar dan naik hingga menghasilkan ombak yang menuju pantai. 

Pakar kaji gempa di Biro Kajian Geologi Britain, Roger Musson, yang mengkaji garisan gempa di Sumatera mengakui gusar apabila gegaran terbaru berlaku. 

“Tetapi, apabila saya tahu jenis gegarannya, saya rasa lebih baik kerana tidak sama seperti sebelum ini,” katanya. Biro Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa berukuran 8.7 magnitud berlaku 435 kilometer dari Banda Aceh. 
Pemerhatian terhadap tsunami oleh Pusat Amaran Tsunami di Hawaii kemudian menasihatkan berpuluh-puluh negara di sepanjang lingkaran Lautan Hindi, dari Australia hingga India dan Afrika supaya berjaga-jaga. 

Bagaimanapun, satu-satunya ombak yang berlaku kurang 80 sentimeter tinggi menghempas pantai Indonesia. 

Tetapi, ketika banyak pihak menarik nafas lega, satu lagi gegaran berukuran 8.2 magnitud melanda. 

“Kami baru saja memberi amaran mengenai satu lagi kemungkinan tsunami berlaku,” kata jurucakap geofizik Indonesia, Prih Harjadi, kepada TVOne. 

Penduduk Indonesia dinasihatkan supaya mengelak daripada pergi ke pantai barat. 
Bagaimanapun, ancaman itu kemudian ditarik balik. 

Oleh itu, gegaran dan bukan tsunami yang mencetuskan kebimbangan dan panik di beberapa tempat termasuk di negara jiran sperti Singapura, Thailand hingga India apabila bangunan bergoyang. 

Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) berkata, sistem komunikasi yang dibentuk selepas tsunami 2004 berfungsi dengan baik. 

“Rekod kami menunjukkan semua khidmat meteorologi di negara yang menghadapi risiko tsunami menerima amaran tidak lebih daripada lima minit,” kata Ketua Program Pengurangan Risiko Bencana, Maryam Golnaraghi. 

Sistem amaran awal itu disiarkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika yang mengendali stesen amaran tsunami di Hawaii, katanya. – AP

No comments:

Post a Comment