Pages

Wednesday, April 25, 2012

Eropah amalkan diskriminasi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



LONDON 24 April - Negara-negara Eropah melakukan diskriminasi terhadap penduduk Islam kerana mereka mengamalkan agama mereka, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
Pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International, hari ini dalam laporannya yang tertumpu kepada Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol dan Switzerland, menggesa kerajaan-kerajaan Eropah meningkatkan usaha bagi mengikis stereotaip negatif dan prejudis terhadap Islam.
Laporan itu menyuarakan kritikan, terutamanya terhadap negara-negara yang menguatkuasakan pengharaman ke atas pemakaian purdah atau burqa atau pemakaian simbol agama di sekolah.
"Parti-parti politik dan pegawai kerajaan tidak berusaha untuk menghapuskan prejudis, sebaliknya kerap menyokongnya dalam usaha untuk memancing undi," kata pakar Amnesty International mengenai diskriminasi, Marco Perolini.
Katanya, wanita Islam tidak mendapat pekerjaan dan kanak-kanak perempuan dihalang daripada menghadiri kelas, semata-mata kerana mereka berpakaian tradisional, seperti memakai tudung kepala, sementara lelaki boleh dipecat kerana menyimpan janggut yang dikaitkan dengan Islam.
Menurut laporan berjudul 'Pilihan dan prejudis: Diskriminasi terhadap Penduduk Islam di Eropah' itu, undang-undang yang mengharamkan diskriminasi dalam sektor pekerjaan belum dilaksanakan dengan sewajarnya di Belgium, Perancis dan Belanda.
Majikan dibenar mengharamkan pemakaian simbol agama atau budaya di tempat kerja atas alasan simbol itu boleh menyinggung perasaan pelanggan atau rakan sekerja, atau ia bercanggah dengan imej korporat syarikat atau dasar berkecuali yang dikatakan diamalkan oleh syarikat, kata Amnesty.
Pertubuhan itu menganggap pengharaman sedemikian sebagai bertentangan dengan undang-undang Kesatuan Eropah (EU).
"Undang-undang EU yang mengharamkan diskriminasi atas sebab-sebab agama atau kepercayaan dalam sektor pekerjaan nampaknya tidak 'bertaring' di seluruh Eropah, kerana kami mendapati kadar pengangguran lebih tinggi di kalangan penduduk Islam," kata Perolini.
Amnesty juga mengkritik Switzerland kerana pada 2009 mula mengharamkan pembinaan menara baru untuk masjid, dan menyatakan tentang pihak berkuasa di wilayah Catalonia, Sepanyol yang menolak permohonan untuk membina masjid atas alasan rumah ibadat Islam itu bercanggah dengan tradisi dan budaya Catalonia. - AFP

No comments:

Post a Comment