Pages

Saturday, April 28, 2012

El Salvador lubuk seks ejen AS

Berita Harian Online | El Salvador lubuk seks ejen AS:
Salah laku terbaru Amerika Latin turut babit FBI, DEA dan diplomat 

WASHINGTON: Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat melancarkan siasatan baru ke atas dakwaan salah laku dan skandal seks ejen sulit di El Salvador, menyusuli kontroversi di Colombia dan Brazil yang terus mencalar reputasi pengawal elit Presiden Amerika Syarikat ketika ini, Barack Obama.
Laporan terbaru mendakwa, ejen sulit terbabit mengadakan parti dengan penari bogel dan pelacur ketika dalam tugasan rasmi di El Salvador tahun lalu.
Laporan itu memetik seorang kontraktor kerajaan Amerika yang mendedahkan dia dan lebih sedozen ejen sulit serta beberapa anggota tentera mengunjungi sebuah kelab tarian bogel sebelum Obama tiba di San Salvador pada Mac 2011. 

Beberapa ejen sulit juga memberi bayaran untuk masuk ke bilik VIP untuk mendapat khidmat seks dan sekurang-kurangnya dua daripada ejen berkenaan membawa pelacur balik ke bilik hotel. 

“Ejen sulit itu juga berlagak dengan berkata mereka lakukan perkara itu setiap masa dan meminta saya supaya tidak risau,” kata kontraktor terbabit. 

Laporan itu juga memetik pemilik kelab berkenaan sebagai berkata, ejen sulit AS mengunjungi tempat itu tiga malam berturut-turut pada 2011, malah pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Pentadbiran Penguatkuasa Dadah (DEA) dan kedutaan Amerika adalah pelanggan biasa. 
Awal bulan ini, 12 ejen sulit dan 12 anggota tentera Amerika dituduh berparti dengan pelacur Colombia dan membawa wanita itu balik ke bilik hotel di Cartagena sebelum Obama tiba di bandar itu. 

Beberapa hari sebelum itu, tiga anggota Marin Amerika dan seorang petugas kedutaan Amerika di Brazil dikenakan hukuman berat serta diarah pulang berikutan satu insiden dengan seorang pelacur. 

Rabu lalu, ketika satu sesi keterangan di Senat, ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Janet Napolitano berkata beliau dan Obama tetap menaruh kepercayaan penuh kepada ketua Perkhidmatan Rahsia, Mark Sullivan tetapi berikrar untuk menyiasat sepenuhnya apa yang berlaku. 

Napolitano berkata, beliau tidak menemui sebarang masalah besar membabitkan anggota Perkhidmatan Rahsia, lebih-lebih lagi tiada aduan mengenai salah laku dibuat sejak dua tahun enam bulan lalu apabila ejen sulit melakukan 900 tugasan di luar negara dan 13,000 lagi di dalam negara. 

“Bagaimanapun, perilaku anggota Perkhidmatan Rahsia pasti akan diberi tumpuan lebih teliti jika dakwaan mengenai apa yang berlaku di El Salvador terbukti benar,” kata anggota Kongres, Sheila Jackson Lee. – AFP/Agensi

No comments:

Post a Comment