Pages

Monday, April 23, 2012

Buruh kontrak dipenjara 12 tahun kerana sebabkan kematian remaja

Berita Harian Online | Buruh kontrak dipenjara 12 tahun kerana sebabkan kematian remaja:
KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang buruh kontrak setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, tahun lalu. 

Hakim Datuk Mariana Yahya, yang menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Zubaikhan Abdul Halim, 22, dari Kuantan, berkata hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 31 Mei 2011.
Mohd Zubaikhan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian Zulkifli Ali, 16, pada pukul 1.30 pagi di Medan Pelancong Benteng, Jalan Besar Kuantan di sini pada 21 Mei tahun lalu.
Mengikut fakta kes, kejadian bermula apabila mangsa dan seorang rakan lelaki yang berada di lokasi kejadian untuk melihat orang ramai memancing ikan didatangi lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang bertindak memukul mangsa. 

Rakan mangsa mendakwa tertuduh menghentak kepala mangsa ke pintu besi sebuah kedai makan sebelum tertuduh menyepak belakang badan dan kepala selepas mangsa jatuh ke lantai yang mengakibatluan mangsa tidak sedarkan diri. 

Selepas kumpulan itu beredar, rakan mangsa menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di mana mangsa tidak sedarkan diri sejak kali pertama dimasukkan ke situ sehinggalah disahkan meninggal dunia pada 30 Mei 2011 jam 3.15 petang. 

Pemeriksaan pakar patologi mendapati terdapat kesan lebam di bahagian dalam kulit kepala dan kesan retakan di tiga lokasi bahagian tengkorak kepala serta kesan lebam pada paru-paru sebelah kanan mangsa. 
Ketika membacakan hukuman ke atas tertuduh, Mariana berkata tertuduh bernasib baik kerana tuduhan ke atasnya diringankan iaitu daripada membunuh orang kepada mematikan orang dengan salah, namun kesalahan membabitkan nyawa manusia adalah suatu yang serius. 

"Saya percaya sebagai manusia setiap perbuatan ada hadnya, nyawa manusia sangat bernilai dan kehilangan nyawa mangsa kepada ahli keluarganya tidak dapat diganti dengan apa-apa," katanya. 

Sementara itu, dua rakan tertuduh iaitu Mohd Salahudin Shamsul Aizam, 20, dan Mohd Masyadi Mohd Zainal, 21, yang dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditahan pada 31 Mei 2011 bagaimanapun dibebaskan mahkamah selepas mereka ditahan selama 10 bulan. 

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zulkifli bersama Mohd Zubaikhan di lokasi dan masa yang sama. 

Dua lagi rakan mereka yang merupakan remaja lelaki yang kini berusia 17 dan 18 tahun dilepaskan dengan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 selepas mengaku salah melakukan kesalahan sama seperti Mohd Salahudin dan Mohd Masyadi. 

Mariana turut memerintahkan ibu bapa atau penjaga kedua-dua remaja itu supaya membawa mereka melaporkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing setiap bulan selama setahun bermula bulan depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad manakala peguam Bob Arumugam mewakili Mohd Salahudin, Mohd Masyadi dan remaja berusia 17 tahun, Arifin Che Ali mewakili Mohd Zubaikhan manakala seorang remaja berusia 1 tahun diwakili peguam Azizan Abdullah. - BERNAMA 
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment