Pages

Friday, April 13, 2012

Banjir terburuk landa Kuala Dipang

 BEBERAPA rumah penduduk  Kampung Nyior, Kuala Dipang   tenggelam  dilanda banjir, semalam.
BEBERAPA rumah penduduk Kampung Nyior, Kuala
Dipang tenggelam dilanda banjir, semalam.

Lebih 254 keluarga dipindah air Sungai Kampar melimpah 

KAMPAR: Lebih 1,000 penduduk dari 254 keluarga yang tinggal di beberapa kampung di sekitar Kuala Dipang, dekat sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka dinaiki air melimpah dari Sungai Kampar hingga mencecah paras bumbung.
Banjir sejak jam 3.30 pagi dan terburuk sejak 30 tahun di daerah ini, menyebabkan kebanyakan penduduk yang masih tidur di rumah, terkejut dan meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang kerana panik.
Banjir juga berpunca akibat dua ban pecah hingga menyebabkan ada rumah penduduk, terutama di tebing sungai berkenaan roboh seba-hagiannya dan dihanyutkan air, manakala sejumlah kenderaan tidak sempat dialihkan penduduk dan ditenggelami air. 

Penduduk yang terjejas adalah di Kampung Kuala Dipang, Kampung Baru Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Nyior, Kampung Batu 20, Kampung Pulau Bergading dan Kampung Malaya. 

Kampung Baru Kuala Dipang berhampiran ban atau benteng adalah yang terawal dilanda banjir kira-kira jam 3.30 pagi tetapi mulai beransur surut mulai jam 8 pagi semalam. 

Kampung lain yang banjir itu berada berhampiran Sungai Kampar dan terletak di kedudukan agak rendah daripada Jalan Ipoh-Kampar, menyebabkan pengguna yang melalui kawasan itu dapat melihat dari kenderaan mereka beberapa rumah ditenggelami air hingga mencecah bumbung, manakala jalan raya ke Kuala Dipang ditenggelami air berarus deras yang boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda saja. 
Kesesakan jalan raya yang teruk turut berlaku sepanjang kira-kira lima kilometer laluan berkenaan sejak pagi. 

Setakat jam 3 petang semalam, seramai 1,145 mangsa didaftarkan membabitkan 767 mangsa dari 183 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar, manakala 378 orang dari 71 keluarga di Dewan Pulau Bergading, Kuala Dipang. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata jumlah mangsa banjir dipercayai lebih ramai kerana ada yang menumpang di rumah saudara atau anak masing-masing di tempat lain, selain penduduk tidak berpindah ke pusat pemindahan berikutan air sudah surut. 

“Kita percaya punca kejadian akibat hujan lebat luar biasa di kawasan berkenaan. Saya harap tiada pihak membuat andaian kononnya banjir ini kesan gempa bumi di Aceh kelmarin atau berlaku kegiatan pembalakan haram di hulu sungai," katanya pada sidang media di SMK Kampar di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment