Pages

Saturday, April 14, 2012

Babun mampu kenal huruf



MARSEILLE 13 April - Babun mampu mengenal perkataan yang mempunyai empat huruf pada skrin komputer, menurut dua saintis dari Perancis, Dr. John Grainger dan Dr. Joel Fagot.
Penyelidik dari Universiti Aix-Marseille itu mendapati, selepas dilatih, haiwan tersebut mampu membezakan antara perkataan yang dieja dengan betul dan kombinasi huruf yang tidak tepat, walaupun tidak dapat membacanya.
Keputusan kajian tersebut menunjukkan kebolehan mengenalpasti perkataan di kalangan babun lebih berkait dengan pengenalan objek, berbanding kemahiran linguistik.
"Kesimpulannya babun mampu menguasai latihan membezakan perkataan dan bukan perkataan, jadi kami sangat gembira apabila mereka mampu melakukannya," kata Dr. Grainger.
Kajian tersebut dilakukan terhadap sekumpulan babun Guinea dalam satu makmal yang dibina di universiti itu.
"Dalam penyelidikan ini, babun dibiarkan bebas untuk menyertai ujian dan akan dikenal pasti secara automatik oleh ujian komputer apabila mereka keluar dari kumpulan sosial secara sukarela serta memasuki satu daripada 10 sistem ujian yang disediakan," kata Dr. Fagot yang mereka cipta sistem tersebut.
Di dalam bilik khas yang disediakan, haiwan tersebut akan didedahkan dengan skrin komputer yang memaparkan sama ada perkataan dengan empat huruf tepat atau huruf yang tidak tepat.
Babun tersebut perlu menyentuh secara tepat sama ada tanda tambah untuk bukan perkataan atau bentuk bujur untuk perkataan.
Seekor daripada babun yang terlibat mampu mengenalpasti sehingga 300 perkataan secara tepat. - AGENSI

No comments:

Post a Comment