Pages

Wednesday, April 4, 2012

AS tawar RM36j tahan militan


Hafiz Mohammad Saeed
Hafiz Mohammad Saeed
Pengasas, pemimpin kedua pergerakan Lashkar-e-Taiba dikehendaki 

ISLAMABAD: Amerika Syarikat menawarkan AS$10 juta kepada sesiapa yang membantunya menahan pengasas sebuah kumpulan militan yang dipersalahkan atas serangan terhadap Mumbai pada 2008 kerana pergerakan pemimpin itu diketahui ramai di Pakistan. Hadiah pemberi maklumat itu membabitkan Hafiz Mohammad Saeed, pengasas Lashkar-e-Taiba (LeT) yang sering muncul di khalayak ramai di Pakistan, diumumkan Penolong Setiausaha Negara Amerika, Wendy Sherman di India, kelmarin dan butir-butirnya boleh dibaca di laman web ‘Rewards for Justice’ kerajaan Amerika.
Nilai tawaran itu diberi untuk pihak yang memberi maklumat hingga tertangkapnya Saeed adalah sama dengan yang membabitkan pemimpin tertinggi Taliban Afghanistan, Mullah Omar. 

Nilai itu yang kedua tertinggi selepas pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri iaitu AS$25 (RM75 juta). 

Washington juga menawarkan AS$2 juta kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan pemimpin kedua LeT, Hafiz Abdul Rahman Makki. 

Saeed ketua badan kebajikan diharamkan, Jamaat-ud-Dawa yang dianggap mewakili LeT. 
Pada 27 Mac lalu, dia berucap di depan beribu-ribu penyokongnya di Islamabad menggesa kerajaan Pakistan tidak membuka pintu di sempadan Afghanistan kepada askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan askar Amerika. 

Notis di laman web berkenaan menyatakan, Saeed disyaki merancang banyak serangan pengganas termasuk di Mumbai pada 2008 menyebabkan 166 orang terkorban termasuk enam warga Amerika. 

Di bawah skim Jabatan Negara yang sama, Amerika membayar wang itu selepas suspek bersenjata menembaknya. 

Kementerian Luar Pakistan berkata, ia tiada ulasan mengenai pengumuman Amerika berkenaan tetapi disambut baik di New Delhi. 

“Ia memberi isyarat kuat kepada LeT, anggota dan penyokongnya bahawa masyarakat antarabangsa bersatu menentang keganasan,” kata Kementerian Luar India. 
Dawa kemudian mengutuk tindakan Washington menyifatkannya cubaan untuk menceriakan India. 

“Hafiz Saeed bukan seorang yang lari daripada undang-undang, dia tidak tinggal dalam gua, tidak melakukan sebarang jenayah dan mahkamah sudah mengisytiharkannya tidak bersalah.” 

Setiausaha Penerangan LeT, Hafiz Muhammad Masood, memberitahu menerusi telefon: “Dia meneruskan aktiviti seperti biasa dan tawaran itu tidak akan menjejaskan mereka,” katanya. 

Pakistan menahan Saeed di rumahnya sebulan selepas serangan Mumbai berlaku tetapi dibebaskan pada 2009, manakala pada 2010 Mahkamah Agung membebaskannya atas alasan bukti tidak cukup. 

Penganalisis Pakistan, Imtiaz Gul berkata sukar menahan Saeed kerana tindakan perundangan sebelum ini tidak pernah berjaya. – AFP

No comments:

Post a Comment