Pages

Saturday, April 7, 2012

25 amah nanti dipancung

RIYADH: Seramai 22 warga Indonesia yang dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi telah dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal mereka, manakala 25 pembantu rumah negara itu masih berdepan hukuman berkenaan atas pelbagai kesalahan.
Sehubungan itu, jurucakap Kedutaan Indonesia di Riyadh, Hendrar Pramutyo berkata, kerajaan negaranya akan menghantar 14 petugas khas presiden ke Arab Saudi hari ini untuk berbincang dengan pegawai negara itu dan mencari jalan menyelamatkan mereka yang menanti pelaksanaan hukuman itu.

“Di Riyadh saja, enam amah warga kami menghadapi hukuman mati, manakala 19 pekerja wanita berdepan hukuman itu di wilayah barat Saudi. Kami akan menghadiri satu perbicaraan di Dammam minggu depan,” katanya. Beliau juga berkata, kira-kira 1,700 rakyat Indonesia berada dalam penjara Arab Saudi ketika ini.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada pertubuhan kemanusiaan kerajaan Saudi kerana bantuan mereka yang membolehkan sebilangan pesalah dibebaskan dan dihantar pulang ke Indonesia,” katanya.

Hendrar berkata, misi diplomatik Indonesia masih berusaha menguruskan pembebasan pekerja yang ditahan kerana jenayah kecil. “Kami juga telah meminta kebenaran daripada kerajaan Saudi bagi mengizinkan delegasi petugas khas kami melawat penjara negara berkenaan.

“Kami masih menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.


Menurutnya, ramai lagi pesalah lain mungkin tidak begitu bernasib baik. Bagaimanapun, pejabat kedutaan dan juga pejabat konsul Indonesia di Jeddah berusaha sedaya upaya membantu mereka dari segi undang-undang. Jun tahun lalu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengecam hukuman pancung di Arab Saudi terhadap pembantu rumah Indonesia dan menuduh Riyadh tidak mematuhi tatasusila hubungan antarabangsa.

Ruyati binti Sapubi, 54, dipancung pada 18 Jun 2011 selepas didapati bersalah membunuh majikannya, warga Saudi, mendorong Indonesia memanggil pulang dutanya di Riyadh untuk berbincang.

Dalam pada itu, menurut laporan akhbar Indonesia, The Presidential Post, sejumlah 167 warga Indonesia berdepan hukuman mati dan 11 lagi sudah dihukum mati di pelbagai negara, termasuk Arab Saudi, baru-baru ini. Kebanyakan rakyat Indonesia yang dijatuhkan hukuman mati bersalah kerana melakukan jenayah serius atau disabitkan dengan hukuman itu tanpa alasan yang kukuh. - AN

No comments:

Post a Comment