Pages

Tuesday, March 13, 2012

Tertusuk kaca: Chun meninggal dunia

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



ANGIE Ng Lai Kean (kanan) dan Foong Kwok Mun (kiri) menunggu mayat anak mereka, Foong Chun Yuan di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 12 Mac - Empat hari selepas dirawat akibat cedera parah terlanggar dinding kaca di Jeti Kuala Kedah di sini, kanak-kanak berusia 5 tahun yang terlibat dalam kejadian Jumaat lalu itu akhirnya meninggal dunia hari ini.
Foong Chun Yuan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak hari kejadian disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 pagi ini.
Menurut ibunya, Angie Ng Lai Kean, 38, pihak hospital menghubunginya kira-kira pukul 6 pagi untuk memaklumkan keadaan anaknya yang semakin kritikal.
"Saya, suami dan anak-anak terus ke hospital namun sebaik sahaja kami tiba, Chun Yuan telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSB di sini hari ini.
Katanya, anak bongsunya itu mengalami masalah darah gagal mengalir ke otak mengakibatkan ia tidak dapat berfungsi.
Menurut Angie, dia tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga terutama anak bongsunya itu untuk bercuti di Pulau Langkawi sempena cuti sekolah kali ini berakhir dengan tragedi.
"Namun saya terima pemergiannya ini dan mayat Chun Yuan akan dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor sebaik urusan di sini selesai," katanya.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan tentang seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang koma selepas cedera parah akibat tertusuk dinding kaca pada paha di jeti tersebut.
Kanak-kanak malang itu dikatakan mahu ke kaunter tiket di jeti berkenaan selepas keluar dari bilik air di kawasan ruang menunggu sebelum terlanggar cermin itu kira-kira pukul 6.10 pagi.
Menurut bapanya, Foong Kwok Mun, 40, anaknya mungkin tidak perasan cermin kaca tersebut yang memisahkan kaunter tiket dengan ruang menunggu lalu terlanggar kerana ketika itu suasana samar ekoran lampu belum dibuka sepenuhnya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment