Pages

Monday, March 19, 2012

Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan

Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan - Kelantan - Sinar Harian:
Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan operasi bersepadu
KOTA BHARU - Sepasang kekasih yang mempunyai ‘gigitan cinta’ di leher antara 63 remaja yang diberi kaunseling dalam Operasi Lepak dan Cegah Jenayah melibatkan lima agensi yang diketuai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Selain itu, beberapa pelajar yang berpakaian seksi, berpelukan, berpegangan tangan di khalayak ramai turut diberi kaunseling dalam operasi yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI Ramly Che Hussin berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 hingga petang itu berjaya ‘menyelamatkan’ 63 remaja, 15 daripadanya adalah pelajar.

“Seramai 22 daripada yang dipanggil itu menjalani ujian saringan air kencing dan kesemuanya bebas pengaruh dadah. Mereka ini diberikan kaunseling serta pelajar yang terlibat dalam operasi diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN),” katanya semalam.

Ramly berkata, lebih mengejutkan ketika operasi dijalankan ada di antara pengunjung tidak segan silu memakai baju ketat, pelajar perempuan tidak bertudung, mendedahkan dada, malah ada juga yang mewarnakan rambut pelbagai warna dan tindik telinga.

Selain itu, ada juga di antara remaja yang memakai baju menjolok mata, lelaki berketerampilan perempuan, pelajar bawah umur mengunjungi pusat snooker turut ditahan untuk kaunseling.

“Kesemua yang ditahan ini diberi peluang untuk mengubah cara hidup mereka dengan mengikuti kaunseling dari pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan ada diantaranya diarahkan menjalani ujian air kencing,” katanya.

Katanya, operasi seperti ini diteruskan dari masa ke masa supaya golongan remaja dan belia boleh akan mematuhi peraturan serta takut untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama Islam.

Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kelantan (AADK), Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) dan polis.

Turut serta dalam operasi berkenaan Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan pegawai JPN, Wan Suraya Arifin.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment