Pages

Tuesday, March 13, 2012

Polis sahkan mayat rentung adalah Dirang

Polis sahkan mayat rentung adalah Dirang - Semasa - Sinar Harian:
Nurul Nadirah Abdullah
SENAI - Polis mengesahkan penemuan serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, 8 Mac lalu, adalah milik Nurul Nadirah atau panggilan manjanya, Dirang, yang hilang sejak 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima hasil keputusan ujian DNA ke atas serpihan rangka manusia yang ditemui dan sampel ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, hari ini.
"Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini," katanya lagi.
Laporan Bernama memetik Roslan berkata, walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa, namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac.
Katanya, faktor keadaan mayat yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh pihaknya.
Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Berikutan itu satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes itu.
Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa.
Hasil siasatan sebelum ini, katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.
Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.    
Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan dilanjutkan bagi membantu siasatan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment