Pages

Saturday, March 24, 2012

Mimpi aneh anak terperangkap



Oleh Anja Asmara

2012/03/24

PONTIAN: Dua beradik yang berjaya mengejutkan keluarga mereka supaya menyelamatkan diri, ditemui rentung dalam kebakaran sederet sembilan rumah kedai usang di Pekan Ayer Baloi di sini, awal pagi semalam. 

Pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, Khusnul Khotimah Selamat, 13, dan adiknya Rohman, 12, murid Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi, gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 pagi itu.
Mereka dipercayai terperangkap di bahagian hadapan tingkat atas rumah kedai itu sebelum mayat mereka yang rentung ditemui anggota bomba jatuh ke tingkat bawah berhampiran pintu masuk.
“Walaupun bersedih, kami menerima ketentuan Ilahi ini sebagai dugaan hidup dan reda terhadap kejadian menimpa dua anak kesayangan kami yang pergi buat selama-lamanya. 

“Saya tak sangka, pelbagai mimpi aneh yang mengganggu tidur sejak tiga bulan lalu, termasuk kejadian rumah roboh serta dua anak terperangkap dan tidak dapat diselamatkan, menjadi kenyataan dalam kebakaran ini. 

“Dua anak saya benar-benar pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Sukar untuk kami menerima kenyataan kehilangan dua anak dalam kebakaran ini, namun itulah takdir dan ketentuan Ilahi,” rintih ibu mangsa, Hasniah Abd Hussin, 50, yang mendiami rumah kedai kedai yang disewa mereka kerana berniaga kuih di hadapannya bagi menyara kehidupan keluarga selama ini. 

Hasniah tidak menyangka sikap manja Rohman yang mahu tidur di sisinya sejak beberapa malam lalu menjadi petanda anak bongsunya akan pergi buat selama-lama. 
Bapa mangsa, Selamat Kosnan, 51, berkata ketika kejadian, keluarganya tidur di tingkat atas rumah kedai papan itu sebelum terjaga apabila Khotimah mengejutkan mereka sambil memberitahu asap tebal di tingkat bawah. 

“Dalam kegelapan kerana bekalan elektrik yang terputus dan asap menyelubungi setiap ruang kediaman kami, saya mengejutkan seluruh ahli keluarga sebelum bergegas turun menyelamatkan diri menerusi pintu belakang tanpa menyangka Khotimah dan Rohman masih belum turun. 

“Dalam keadaan cemas itu, saya menyangka mereka sudah keluar terlebih dulu dan tidak menyangka mereka terperangkap dalam api yang marak itu. 

“Saya hanya menyedari nasib mereka apabila gagal menemui kedua-duanya selepas kami sekeluarga berjaya keluar menyelamatkan diri tetapi mereka berdua tiada bersama,” katanya menahan sebak.

No comments:

Post a Comment