Pages

Thursday, March 22, 2012

Mexico bergegar seminit



Foto
SEBAHAGIAN mangsa gempa yang cedera dirawat di hospital Ometepec, Guerrero. 
Foto
SEBUAH bas hancur dihempap jambatan yang runtuh selepas gempa melanda Mexico, kelmarin. 

Gempa bumi 7.4 skala Richter rosakkan 800 kediaman

BANDARAYA MEXICO: Gempa bumi kuat berukuran 7.4 skala Richter menggegarkan selatan Mexico kelmarin, merosakkan lebih 800 rumah berhampiran pusat gegaran dan menyebabkan bangunan bergoyang serta menimbulkan kebimbangan serta panik di kalangan penduduk termasuk yang tinggal beratus-ratus kilometer dari ibu negara.
Pekerja dan penduduk dalam keadaan takut memenuhi jalan raya di ibu negara. Perkhidmatan telefon tergendala di bandar raya itu dan seluruh kawasan yang merasai gegaran sekurang-kurangnya satu minit.
Gempa bumi itu sangat kuat. - Campos Benitez, pengarah hospital
Beberapa kawasan penempatan mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut Datuk Bandar Marcelo Ebrard, yang mewujudkan talian hotline untuk orang ramai membuat aduan.

Sebuah jambatan pejalan kaki turut runtuh menghempap sebuah bas transit yang kosong. Seramai 40 penumpang terkandas untuk seketika di dalam tren di lapangan terbang Bandaraya Mexico tetapi dikeluarkan tidak lama kemudian. 

Lapangan terbang ditutup untuk sementara tetapi pegawai berkata, landasan tidak rosak dan operasi disambung semula.

Perunding alam sekitar, Samantha Rodriguez, 37, yang dipindahkan dari tingkat 11 bangunan pejabat Menara Angel, berkata dia menyangka keadaan akan berlaku sekejap tetapi tembok mula retak dan bergegas keluar bersama rakan sepejabat. 
Gempa bumi terbaru adalah terkuat menggegarkan Mexico sejak gegaran maut pada 1985 yang membunuh beribu-ribu orang di Bandaraya Mexico.

Kawasan paling teruk ialah di negeri Oaxaca dan Guerrero, selatan Mexico. Di Guerrero, pegawai mengesahkan 800 rumah rosak, dengan 60 lagi runtuh.

Tiada laporan kematian diterima lama selepas gegaran itu berlaku tengah hari waktu tempatan, walaupun selepas gegaran susulan pada skala 5.1 dirasakan di bandar raya itu dan beberapa gegaran susulan lain berhampiran pusat gempa di kawasan pergunungan daerah pedalaman.

Setiausaha Dalam Negeri Mexico, Alejandro Poire, berkata sembilan penduduk cedera di Oaxaca dan dua lagi di Bandaraya Mexico tetapi tiada yang maut.

“Gempa bumi itu sangat kuat,” kata pengarah hospital, Campos Benitez, di Ometepec, yang terletak 25 kilometer dari pusat gegaran.

Gabenor Guerrero, Angel Aguirre, yang berasal dari Ometepec, bergegas ke tempat terjejas untuk meninjau kerosakan dan mengarahkan krew bantuan kecemasan dan perlindungan awam ke kawasan itu untuk membantu. 

Negeri itu tidak menyatakan berapa ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Bandaraya Mexico musnah teruk pada 1985 apabila gempa bumi membunuh sekurang-kurangnya 10,000 orang. Ia pada awalnya diukur pada skala 8.1 tetapi kini diletakkan pada ukuran 8.0 pada skala Richter oleh Tinjauan Geologi Amerika Syarikat.

Sejak beberapa tahun lalu, Guerrero dilanda beberapa gempa bumi besar, termasuk berukuran 7.9 pada skala Richter pada 1957 yang membunuh anggaran 68 orang dan gegaran pada skala 7.4 pada 1995 yang meragut tiga nyawa. – AP/Agensi

No comments:

Post a Comment