Pages

Friday, March 30, 2012

Liga Arab berbalah isu Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



DARI kiri: Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil al-Arabi, Presiden Iraq Jalal Talabani dan Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya, Mustafa Abdel Jalil menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di di Baghdad, semalam. - AFP


BAGHDAD 29 Mac - Sidang kemuncak Liga Arab yang bermula di ibu negara Iraq ini hari ini tidak akan mendesak Presiden Syria, Bashar al-Assad berundur atau musuh beliau diberi senjata, dua isu yang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin Arab.
Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari berkata, blok Arab yang terdiri daripada 22 anggota itu tidak akan membincangkan langkah-langkah tegas yang disokong oleh Qatar dan Arab Saudi.
Krisis di Syria yang dilaporkan telah meragut hampir 10,000 nyawa dalam pertumpahan darah sejak setahun lalu membayangi sidang tiga hari di Iraq itu, kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun rundingan sedemikian dianjurkan oleh Baghdad.
"Inisiatif Liga Arab adalah jelas dan tidak menuntut Assad meletakkan jawatan, dan kami (Menteri-Menteri Luar) juga tidak membuat tuntutan tersebut, begitu juga keputusan akan datang tidak akan menghala ke arah itu.
"Terpulang kepada rakyat Syria untuk memutuskan dan memilih pemimpin mereka, bukan Liga Arab atau pihak lain," kata Zebari.
Isu membekalkan senjata kepada pemberontak Syria juga tidak dibincangkan, ujar beliau.
Kedua-dua isu mencetuskan perbalahan antara negara-negara seperti Qatar dan Arab Saudi yang mahu Assad berundur dan senjata dibekalkan kepada pemberontak di Syria, dengan negara-negara yang menyokong perdamaian politik, seperti Iraq.
Dalam pada itu, satu letupan kuat berdekatan Kedutaan Iran di kawasan kejiranan Salhiyeh menggegarkan Baghdad, ketika pembukaan sidang kemuncak sedang berlangsung di sini.
Letupan yang berlaku sekitar pukul 1.40 petang (waktu tempatan) itu, menyebabkan asap menjulang ke udara.
Pasukan bomba dan keselamatan dikerahkan ke tempat kejadian, namun tiada kematian dilaporkan. - AFP

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment