Pages

Monday, March 12, 2012

Jepun bertafakur kenang tragedi tsunami

Berita Harian Online | Jepun bertafakur kenang tragedi tsunami:
  • Foto
    PENDUDUK Iwaki di Fukushima memandang ke arah laut ketika berkabung tragedi gempa dan tsunami tahun lalu.
  • Foto
    (DARI kiri ke kanan) Madoka Sato, hiroko Sato dan Haruka Tsubonuki serta suaminya, Kazuhiro berdoa untuk nenek mereka, Fumiko Mori yang maut dalam bencana 11 Mac tahun lalu.
  • Foto
    AKIHITO (kanan) dan Michiko memberi penghormatan kepada mangsa gempa dan tsunami di Tokyo.
Kerajaan ikrar kurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear jana tenaga elektrik

RIKUZENTAKATA: Kerajaan Jepun berikrar untuk mengurangkan kebergantungan kepada kuasa nuklear ketika negara itu menyambut ulang tahun pertama tragedi besar gempa bumi dan tsunami yang melanda tahun lalu.

Penduduk Jepun di seluruh negara itu semalam bertafakur mengenangkan kira-kira 19,000 mangsa yang maut dalam bencana itu yang turut menyebabkan krisis nuklear paling buruk dalam masa suku abad.
Majlis diadakan tepat jam 2.46 petang, detik berlakunya gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter itu pada 11 Mac 2011.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda, mengaku kerajaan gagal bertindak pantas untuk menangani kejadian itu, terlalu perlahan menyampaikan maklumat mengenainya kepada orang ramai dan terlalu percaya kepada mitos bahawa kuasa nuklear selamat.

Kuasa nuklear membekalkan kira-kira 30 peratus keperluan tenaga negara itu sebelum gempa bumi dan tsunami melanda negara itu Mac tahun lalu.

Walaupun tiada rakyatnya yang meninggal dunia akibat pendedahan radiasi berikutan bencana itu, penduduk Jepun bimbang radiasi mungkin muncul dalam bentuk barah dalam masa beberapa tahun akan datang, terutama di kalangan kanak-kanak. 
Hanya dua daripada 54 reaktor nuklear Jepun terus beroperasi manakala yang lain ditutup untuk dikenakan pemeriksaan khas mengikut jadual bagi memeriksa keupayaannya mengelak terjejas akibat bencana.

Operasi nuklear itu juga turut dijangka berhenti akhir April kerana ada pihak tertentu membantah loji berkenaan kembali bermula.

Di bandar persisiran pantai Rikuzentakata, timur laut Jepun, loceng kecemasan dibunyikan dan seorang sami Buddha memakai jubah ungu membunyikan loceng besar.

Pada masa sama di Teater Kebangsaan Tokyo, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko dan Noda berdiri dalam keadaan diam dengan beratus-ratus rakyat yang berpakaian hitam di majlis memperingati tragedi itu.

Gempa bumi itu adalah yang terkuat direkodkan dalam sejarah Jepun dan mencetuskan tsunami setinggi lebih 20 meter di beberapa tempat di sepanjang pantai timur laut, memusnahkan berpuluh ribu rumah dan menyebabkan kemusnahan teruk.

Naomi Fujino, penduduk Rikuzentakata, berusia 42 tahun yang kehilangan bapanya dalam tragedi itu, mengalirkan air mata ketika mengingati kembali kejadian itu.

Bersama-sama ibunya, Fujino, berjaya lari ke bukit berhampiran dan menyaksikan ombak besar itu menghanyutkan rumah mereka. Itu memaksa mereka menunggu sepanjang malam tetapi bapanya tidak kembali menemui mereka seperti dijanjikan. Dua bulan kemudian, mayat bapanya ditemui.

“Saya menyelamatkan orang ramai tetapi tidak mampu menyelamatkan bapa sendiri. Saya perlu berhenti menangis. Apa lagi yang saya boleh lakukan selain meneruskan kehidupan,” katanya.

Tsunami turut merosakkan sistem penyejukan penting di loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi, menyebabkan tiga reaktor lebur dan melepaskan radiasi di udara.

Kira-kira 100,000 penduduk yang terpaksa menyelamatkan diri masih berada dalam rumah sementara atau menetap bersama saudara mara, dan kawasan seluas 20 kilometer sekitar loji itu masih tidak boleh dimasuki.

Setahun selepas bencana itu, polis dan pakar meneruskan usaha mencari mayat 3,155 orang yang disenaraikan sebagai hilang. 

Kerajaan berkata, loji nuklear Fukushima kini stabil dan radiasi semakin berkurangan tetapi ketua loji itu memberitahu wartawan yang melawat bahawa ia masih belum selamat sepenuhnya. – AP
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment