Pages

Wednesday, March 14, 2012

Iran nafi hapus bukti

TEHERAN: Iran semalam menolak dakwaan mereka membersihkan sebarang kesan aktiviti penyelidikan senjata nuklear dari sebuah tapak tentera tertutup.
Mendakwa tuduhan itu sekadar propaganda, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, berkata apa yang berlaku di pangkalan tentera Parchin, 30 kilometer di timur Teheran itu adalah “aktiviti ketenteraan normal.” “Dakwaan mengenai usaha menghapuskan kesan nuklear dari tapak itu - dan mereka yang arif dalam bidang nuklear sepatutnya tahu kesan aktiviti itu tidak boleh dibersihkan dari lokasinya - hanyalah propaganda,” katanya.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano, minggu lalu berkata imej satelit membayangkan berlaku aktiviti “berterusan” di Parchin.

Diplomat Barat pula mengesyaki Iran kini giat memindahkan bukti dari lokasi berkenaan.

IAEA menumpukan kecurigaan mereka terhadap Parchin sejak menerima laporan perisikan November tahun lalu yang mendakwa Iran mungkin menguji letupan biasa dalam sebuah silinder logam besar bagi menyelidik ledakan bom nuklear.

Sepanjang tahun ini, Iran dua kali menolak permohonan lawatan daripada pemeriksa IAEA di Parchin.


Pada 2005, pemeriksa IAEA dua kali melawat sebahagian Parchin dan tidak menemui bekas silinder ujian berkenaan.

Kata Ramin, secara dasarnya Teheran boleh menerima lawatan terbaru IAEA tetapi agensi itu perlu lebih bersabar bagi mencapai persetujuan mengenai rangka kerja mereka di Parchin. - AFP

No comments:

Post a Comment