Pages

Wednesday, March 14, 2012

Askar AS boleh dihukum mati

KANDAHAR: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta tidak menolak kemungkinan askar Amerika yang menembak mati 16 penduduk awam Afghanistan dihukum mati ketika bantahan anti-Amerika kembali memuncak di negara itu.

“Apa yang saya faham, ia (Hukuman mati) akan dipertimbangkan. Kami tidak tahu apakah sebab (askar itu bertindak begitu). Tetapi, saya memberi jaminan kepada Presiden (Hamid) Karzai bahawa askar itu akan diadili dan dihukum,” katanya.


Serangan di Kandahar, wilayah selatan Afghanistan dilakukan terhadap dua kampung berdekatan pangkalan tentera udara Amerika di Bagram, Ahad lalu.
Seorang penduduk kampung, Mohammad Zahir menceritakan askar Amerika itu menyerbu masuk rumahnya di tengah malam, memasuki setiap bilik dan memaksa penghuni rumah berlutut sebelum menembak bapanya yang keluar dari bilik tidur. 

“Bapa saya tidak memegang apa pun, malah tidak juga secawan teh atau kopi,” kata Zahir. 

Serangan itu meningkatkan lagi kemarahan umum selepas tentera Amerika membakar al-Quran bulan lalu dan penyiaran rakaman video askar Amerika kencing ke atas mayat pejuang Taliban, Januari lalu. 

Askar yang didakwa membunuh dan membakar mangsa adalah penembak curi yang terlatih dan baru-baru ini mengalami kecederaan kepala di Iraq, kata pegawai Amerika. 
Nama suspek berusia 38 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak tidak didedahkan. 

“Kami nampaknya sentiasa diuji hampir setiap hari yang mencabar hubungan dan komitmen terhadap misi membabitkan kami. Keadaan perang seperti neraka,” kata Panetta kepada wartawan yang mengikuti lawatannya ke Kyrgyzstan. 

Seorang pegawai Amerika berkata semasa bertugas di Iraq baru-baru ini, suspek terbabit dalam kemalangan kenderaan dan mengalami kecederaan di kepala. 

Dua pegawai Amerika yang enggan nama disiarkan memberitahu, suspek adalah penembak hendap yang terlatih. Askar terbabit berpangkat staf sarjan sudah berkhidmat selama 11 tahun dan sudah tiga kali berkhidmat di Iraq. 

Pegawai tentera mengarahkan supaya sejarah perubatan dan kerahan kerja askar terbabit supaya segera dinilai, kata pegawai Pentagon. - AP

No comments:

Post a Comment