Pages

Monday, March 26, 2012

AS bantu penentang Bashar

myMetro | AS bantu penentang Bashar:

SEOUL: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berikrar menghantar bantuan bukan senjata kepada pemberontak di Syria.
Dalam pada itu, konvoi keamanan yang diketuai oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Koffi Annan, cuba meyakinkan Russia supaya bertindak lebih agresif terhadap Syria. Pengumuman Obama semalam adalah sokongan paling terbuka oleh AS kepada pemberontak dan ia pasti mencetuskan kemarahan Russia yang mengutuk Barat kerana mendesak Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan. Sementara itu, di Syria, pemberontak dan pemerhati berkata, letupan terus menggegarkan bandar Homs.

Tentera kerajaan meningkatkan serangan di bandar berkenaan sementara kumpulan penentang menyerang pangkalan tentera di Damsyik.
Obama berkata, perbincangan telah dibuat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum Persidangan Keselamatan Nuklear di Seoul, dan mereka bersetuju mengenai perlunya proses untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang sah di Syria.

Seorang pegawai kanan Jabatan Keselamatan Negara AS berkata penghantaran bantuan perubatan dan bantuan lain perlu dijadikan tumpuan utama pada mesyuarat ‘Sahabat Syria’ yang dijadualkan pada 1 April di Istanbul. Jumaat lalu, Russia mengecam mesyuarat itu walaupun sebelum ini ia memberikan tindak balas yang bertentangan mengenai tahap jurang krisis itu dengan Barat.

Dalam pada itu, pertemuan Annan dengan Presiden Russia, Dimitry Medvedev diadakan beberapa hari selepas Moscow mengkritik Bashar dan menyokong Majlis Keselamatan PBB, meminta tenteranya keluar dari bandar Homs.
Bashar setakat ini tidak menunjukkan tanda untuk menuruti desakan itu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 28 orang awam dilaporkan terbunuh, semalam dan pemerhati melaporkan pertempuran merebak dari pinggir bandar Damsyik hingga ke wilayah utara yang bersempadan dengan Turki.
Jawatan kuasa Penyelaras Tempatan berkata: “Tentera kerajaan melancarkan serangan sengit di Khalidiyeh, Hamidiyeh dan Homs Lama semalam hingga menggegarkan seluruh bandar.” Dalam perkembangan lain, pemerhati, berkata penentang melancarkan serangan roket terhadap pangkalan tentera dekat Damsyik. - AP

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment