BEIRUT 4 Feb. - Lebih 200 orang terbunuh akibat bedilan tentera Syria di bandar Homs, menurut aktivis hari ini, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap sedia untuk mengundi satu draf baru resolusi yang menyokong gesaan negara Arab yang mahukan Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan.
Angka korban itu dilaporkan oleh dua kumpulan aktivis besar di Syria, menjadikan serangan ke atas Homs yang terburuk sejak tercetusnya kebangkitan rakyat di Syria 11 bulan lalu.
Penduduk berkata, tentera Syria mula membedil kawasan kediaman Khalidiya pada kira-kira pukul 8 malam (2 pagi waktu Malaysia) menggunakan mortar dan meriam.
Menurut mereka, sekurang-kurangnya 36 rumah musnah teruk.
"Ketika serangan, kami berada di dalam rumah. Kami bergegas berlindung sejurus mendengar bunyi bedilan," kata seorang penduduk di Khalidiya, Waleed.
Punca serangan masih tidak jelas, tetapi beberapa aktivis percaya ia disebabkan gelombang tentera yang belot di Homs, kubu kuat penunjuk perasaan dan pemberontak bersenjata semakin meningkat.
"Angka kematian berjumlah sekurang-kurangnya 217 orang di bandar Homs dengan 138 daripada mereka di daerah Khalidiya,"
"Tentera Syria membedil daerah itu dengan mortar dari beberapa lokasi. Beberapa bangunan turut terbakar dan musnah," kata ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdulrahman.
Menurut aktivis Syria, serangan ke atas Khalidiya, kubu kuat anti-Assad, dilancarkan bagi menakut-nakutkan kawasan kediaman pemberontak lain.
Serangan dilancarkan menjelang rundingan diplomat-diplomat Majlis Keselamatan mengenai draf baru resolusi bagi menyokong gesaan Liga Arab yang menuntut Assad meletak jawatan, lewat hari ini. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment