Pages

Sunday, February 5, 2012

Tentera Iran siap sedia



         
TEHERAN: Pasukan Pengawal Revolusi Iran memulakan latihan tentera laut, semalam, sebagai menunjukkan kekuatan ketenteraan mereka, berhampiran Selat Hormuz, laluan kapal laut penting.

Teheran sebelum ini, mengugut untuk menutup laluan itu sebagai tindakan balas terhadap sekatan ekonomi oleh kuasa Barat.
Peperangan baru Iran, dibuat sejak berminggu lalu dan diteruskan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Al Khamenei memberi amaran mengenai kemungkinan serangan oleh Amerika Syarikat atau Israel ke atas kemudahan nuklear Teheran.

Latihan selama sebulan itu dibuat selepas kuasa Barat meningkatkan kehadiran tentera laut mereka di Teluk Parsi yang diketuai oleh kapal pembawa pesawat, USS Abraham Lincoln.



Setakat ini, Iran belum membuat percubaan mengganggu kapal yang melalui selat itu, laluan untuk satu perlima minyak mentah dunia.


AS dan sekutunya berkata, mereka akan bertindak cepat untuk mana-mana cubaan menyekat laluan itu.

Bulan lalu, tentera laut Iran selesai melakukan latihan 10 hari di Teluk Parsi, tetapi Pengawal Revolusi - yang di bawah kawalan pemimpin agung - mewakili satu pasukan tentera yang lebih kuat, dan mengawal program utama seperti pembangunan peluru berpandu.

Media Iran mengumumkan beberapa latihan baru, tetapi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

Khemenei dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin, memberikan ucapan keras menentang cadangan Israel bahawa serangan tentera satu kemungkinan besar sekiranya sekatan ekonomi tidak mampu menghentikan program nuklear negara republik Islam itu.

Dia berikrar untuk membantu mana-mana negara atau kumpulan yang mahu menentang Israel dan berkata, serangan tentera akan memusnahkan kepentingan AS di Timur Tengah “10 kali ganda” lebih hebat daripada kemusnahan yang dilakukan kepada Iran.

Komennya itu mungkin satu isyarat kepada kuasa proksi Iran - yang diketuai oleh kumpulan militan Islam, Hezbollah - memberi mereka lampu hijau untuk menyerang Israel sekiranya hubungan antara dua musuh ketat itu semakin memuncak.

Kuasa Barat dan sekutunya bimbang, Iran akan menggunakan makmal pengayaan uranium - yang menghasilkan bahan api nuklear - untuk menghasilkan gred bahan senjata.

Iran berkeras ia hanya digunakan untuk menjanakan reaktor untuk tenaga dan penyelidikan perubatan. - AP

No comments:

Post a Comment