Pages

Sunday, February 12, 2012

Pengebom Bali dedah cara buat bom 700 kg



GAMBAR fail 29 November 2011 menunjukkan suspek pengganas, Umar Patek diiring dua anggota polis Indonesia di sebuah mahkamah di Jakarta.


JAKARTA, Indonesia - Seorang militan Indonesia yang didakwa berhubung serangan pengganas di Bali pada 2002 memberitahu penyiasat, dia memencilkan diri selama beberapa minggu di sebuah rumah sewa untuk membina bom seberat setengah tan dengan menggunakan barangan dalam rumah termasuk senduk nasi, alat timbang dan sejumlah beg plastik.

Satu transkrip soal siasat Umar Patek yang diperoleh agensi berita The Associated Press (AP)menceritakan secara terperinci tentang komplot pengeboman di Bali beberapa hari sebelum Patek, yang pernah menjadi suspek pembuat bom paling dikehendaki di Asia Tenggara, dibicarakan di sini kerana peranannya dalam serangan ke atas sebuah kelab malam yang membunuh 202 orang pada 2002.

"Di sebuah bilik rumah sewa berkenaan, saya mula mencampurkan bahan-bahan yang telah disediakan," kata Patek.

"Selama tiga minggu, saya menjadikan campuran tersebut kepada serbuk hitam dengan bantuan Sawad (konconya). Saya menggunakan alat timbang yang biasa digunakan di kedai runcit, senduk nasi dan sejumlah beg plastik bekas untuk mengisi bahan letupan," tambahnya.

Patek yang dikenali sebagai lelaki peledak kerana kepakarannya menggunakan bahan letupan berkata, dia dan beberapa konco lain mengisi bom seberat 700 kilogram itu ke dalam empat kabinet dan meletakkannya di dalam sebuah van Mitsubishi L300 bersama sebuah bom rompi TNT.

Van berkenaan diletupkan di luar dua kelab malam popular di Pantai Kuta, Bali pada 12 Oktober, 2002.

Kebanyakan mangsa yang maut dalam serangan tersebut adalah pelancong asing.

Patek, 45, akan dibicara esok selepas sembilan tahun menjadi buruan pihak berkuasa. Dia melarikan diri ke Filipina sebelum ditangkap di bandar Abbotabbad, Pakistan pada Januari 2011. Pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy Seals menembak mati ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama Bin Laden di bandar sama beberapa bulan kemudian. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment