Pages

Saturday, February 18, 2012

Pelajar Malaysia cedera ditetak dengan parang di Kaherah

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Seorang pelajar Malaysia dari Kedah cedera selepas ditetak di bahagian kepala dengan sebilah parang dalam satu rompakan di kawasan kejiranan Haiyyu Asyir, dekat Kaherah semalam.
Mohamed Afnan Elias, pelajar tahun dua jurusan Syariah, Al Azhar cawangan Tanta dirompak oleh tiga lelaki tempatan dalam satu kejadian kira-kira pukul 9 malam waktu Kaherah.
Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah, Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani ketika mengesahkan demikian berkata, keadaan Afnan bagaimanapun tidak membimbangkan setelah diberi rawatan sebagai pesakit luar.
''Kejadian berlaku ketika Afnan bersama seorang lagi kawannya Ahmad Zaki Ahmad Yusof dalam perjalanan dari Kompleks Pelajar Malaysia, Haiyyu Asyir untuk ke Asrama Rumah Kedah 3, Haiyyu Sabiek.
''Mereka diacukan parang oleh tiga pemuda Mesir dalam lingkungan 18 tahun. Beg sandang milik Afnan disamun dan dilarikan,'' katanya.
Mangsa bagaimanapun mengejar lelaki berkenaan dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka.
Dalam pergelutan itu, pemuda berkenaan melibas parang beberapa kali dan mengenai kepala Afnan.
''Afnan yang mengalami luka di kepala diberi rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital tempatan,'' katanya.
Menurut Syeikh Zainul Jamal, pemuda Mesir tersebut diberkas oleh beberapa pelajar Indonesia dan penduduk tempatan.
''Saya dan beberapa pelajar membuat laporan polis di balai polis Abbas Akad, Nasr City. Mangsa kehilangan dan kerugian melibatkan wang L.E 10 ribu, sebuah komputer riba dan pasport,'' katanya.
Sebelum ini, kejadian rompakan sering berlaku selepas rusuhan di Dataran Tahrir yang membawa kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.
Berikutan itu, Kedutaan Malaysia di Mesir melalui persatuan pelajar mengingatkan pelajar supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

No comments:

Post a Comment