Pages

Sunday, February 19, 2012

Murdoch cabul etika wartawan



MEDIA pada hari ini adalah kuasa dan perniagaan. Apabila menjadi penanda aras kuasa dan lubuk yang menjanakan keuntungan, etika kewartawanan dan kebebasan media menjadi semakin terpencil dan dilihat sebagai anti kemajuan.
Tidak banyak media yang menjunjung prinsip demokrasi, sebaliknya berubah menjadi pendokong individu dan fahaman politik tertentu.
Organisasi media dan wartawan yang menjunjung etika kewartawanan dan berusaha membebaskan media dari cengkaman sesuatu pihak semakin kecil jumlahnya. Tidak banyak wartawan yang malu “menggadaikan” etika kewartawanan yang menjadi batu asas kerjayanya.
Mahu tidak mahu inilah realiti yang terpaksa kita akui. Kepentingan organisasi media dan wartawan sudah berubah. Ia diubah oleh kedudukan media itu sendiri yang menjadi penanda aras kuasa dan perniagaan. Apabila untung rugi menjadi kayu ukur dan organisasi media “dimiliki” oleh yang berkepentingan, prinsip untuk memperjuangkan kemanusiaan dan keadilan sudah luntur.
Tahun lalu akhbar mingguan News of the World milik taikun media, Rupert Murdoch ditutup kerana memintas talian telefon mangsa bunuh dalam pengeboman di London. Kini akhbar The Sun juga milik Murdoch bawah empayar media News Corp bergoncang apabila sembilan pegawai kanan editorialnya disiasat polis kerana rasuah. Mereka merasuah polis dan pegawai kanan awam untuk mendapatkan maklumat.
Di tangan Murdoch, media adalah kuasa dan lubuk perniagaan. Dia peduli apa dengan etika kewartawanan dan kebebasan media asalkan impian berkuasa dan mengaut keuntungan tercapai. Murdoch kini yang berusia 80 tahun mempunyai impian yang cukup tinggi untuk menguasai dunia.
Pada zaman pengaruh media yang menentukan warna politik, Murdoch percaya bahawa menguasai media adalah menguasai dunia. Empayar News Corp misalnya menguasai semua media, daripada studio perfileman berpengaruh di Amerika Syarikat (AS), stesen televisyen satelit, akhbar politik hingga kepada akhbar picisan yang popular di pasaran. Ketika ini impiannya menguasai kepentingan dalam televisyen satelit British Sky Broadcasting (BSkyB) yang bernilai RM42 bilion.
Tahun 2010 News Corp mengaut keuntungannya antara lain dari studio filem 20th Century Fox sebanyak AS$7.6 bilion (RM22.8 bilion), kabel televisyen iaitu Fox News dan National Geographic Channel (AS$7 bilion (RM21 bilion), akhbar seperti News of the World, Daily Mirror, The Star, The Sun serta dua akhbar di AS, National Inquirer dan The Star, The New York Post, AS$6.1 bilion (RM18.3 bilion), saluran Fox TV, AS$4.2 bilion (RM12.6 bilion) dan satelit TV, AS$3.8 bilion (RM11.4 bilion).
Politik
Akhbar News of the World yang berusia 168 tahun dan mencatatkan 7.5 juta pembaca setiap keluaran adalah alat kawalan jauh Murdoch menguasai politik Britain. Ketua Eksekutif News International yang mengendalikan akhbar News of the World, Rebekah Brooks mempunyai hubungan sangat rapat dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron. Antara tokoh lain yang mempunyai hubungan akrab dengan Rebekah Brooks ialah bekas Perdana Menteri Tony Blair, bekas Perdana Menteri Gordon Brown, bekas Datuk Bandar London Ken Livingstone dan Datuk Bandar London Boris Johnson.
Sembilan pegawai kanan editorial The Sun termasuk lima wartawan kanan dan berpengaruh mendepani tuduhan merasuah untuk mendapatkan berita panas adalah kelangsungan The Sun sebagai lubuk perniagaan. The Sun yang mencatatkan edaran 2.7 juta naskhah sehari mempunyai kedudukan penting dalam News Corp. Ini kerana ia menyumbangkan keuntungan selain pengaruh yang besar dalam menentukan percaturan politik Britain. Sebenarnya “budaya” bayar tunai bukan rahsia lagi dalam The Sun. Perkara ini diketahui umum apabila wartawan boleh menuntut wang yang dirasuahkan kepada polis, pegawai awam, tentera malah badan kehakiman seumpama menuntut elaun perjalanan. Inilah juga petua The Sun untuk terus berkuasa.
Di United Kingdom terdapat apa yang dipanggil Suruhanjaya Aduan Akhbar atau Press Complaint Commision (PCC). Ini adalah entiti untuk mengawal selia media bercetak iaitu akhbar dan majalah serta akhbar dalam talian. PCC adalah majlis akhbar tertua yang diwujudkan sejak 1953 dan penubuhannya dianggap selari dengan kedudukan media sebagai kuasa keempat selepas judisiari, legislatif dan eksekutif. Tetapi secara rasminya kedudukan media tidak pernah diiktirafkan setaraf dengan tiga kuasa itu.
Tetapi nampaknya selepas skandal News of the World dan kini skandal rasuah akhbar The Sun, PCC tidak mempunyai kuasa untuk mengawal selia media supaya sentiasa berada pada tahap etika yang tinggi. Ini membuktikan pemilik media mempunyai kuasa lebih besar untuk menentukan apa yang perlu dilakukan oleh wartawan-wartawannya. Apabila editor berpengaruh seperti Rebekah Brooks boleh menentukan kemenangan Cameron dari Parti Konservatif dalam pilihan raya, apakah ada yang masih berharap akan wujud lagi etika kewartawanan dan kebebasan media?
Kita terpaksa menerima realiti baru bahawa wartawan mendepani kesukaran mengangkat wibawa profesionnya ke tahap yang tinggi. Apa yang berlaku kepada News of the World dan The Sun menunjukkan wartawan tidak mempunyai pilihan kecuali setuju dengan dasar organisasi dan berkerja untuk kepentingan pemiliknya.
Semua ini boleh dijadikan cermin kepada organisasi media dan wartawan tempatan supaya terus berjuang menjulang tinggi etika kewartawanan untuk kepentingan rakyat. Walaupun tidak mungkin lahir sekali lagi “Bob Woodward” dan “Carl Bernstein” yang membongkar skandal Watergate dan menumbangkan Presiden Richard Nixon, tetapi etika kewartawanan perlu diletakkan di tempat yang selayaknya.

No comments:

Post a Comment