TEHRAN: Hamas tidak akan sama sekali mengiktiraf Israel, tegas Perdana Menteri pergerakan itu di Gaza, Ismail Haniya, semalam dalam ucapan di Iran yang dilihat menyukarkan usaha Palestin membentuk kerajaan perpaduan berikutan bantahan wilayah Yahudi itu.
“Mereka mahu kami mengiktiraf pencerobohan Israel dan menghentikan tentangan tetapi sebagai wakil penduduk Palestin dan dengan nama kebebasan, saya mengumumkan dari Dataran Azadi di Tehran yang kami tidak akan mengiktiraf Israel.
“Tentangan akan diteruskan sehingga semua tanah Palestin termasuk Baitulmaqdis dibebaskan dan semua pelarian kembali,” katanya.
Penegasan Haniya mengenai pendirian Hamas itu dibuat dalam satu majlis memperingati revolusi Islam di Iran pada tahun 1979.
Pemimpin Gaza itu bercakap kepada anggaran 30,000 hadirin dari atas pentas bersama-sama Presiden Mahmoud Ahmadinejad.
“Rakyat Iran adalah rakan dalam kejayaan ini. Insya-Allah, kami akan bertemu anda bersama-sama rakyat Palestin lain dalam negara bebas Palestin, di ibu negara, Baitulmaqdis,” katanya.
Israel menolak usaha Hamas untuk bekerjasama dengan Fatah, parti lebih sekular pimpinan Presiden Mahmud Abbas yang mentadbir Tebing Barat, untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ia menganggap Hamas sebagai pertubuhan pengganas dan Iran sebagai penyokong dan pembekal senjata.
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, memberitahu wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu perjanjian Hamas dan Fatah yang ditandatangani minggu ini untuk berganding bahu dalam kerajaan baru tidak menyumbang kepada lanjutan rundingan damai atau kebajikan penduduk Palestin.
Blok yang bertanggungjawab dalam proses damai Asia Barat itu iaitu Kesatuan Eropah, Russia, PBB dan Amerika Syarikat sudah lama mendesak supaya kerajaan Palestin termasuk Hamas memenuhi syarat tertentu untuk menyertai rundingan iaitu menghentikan keganasan dan mengiktiraf Israel dan perjanjian masa lalu dengan wilayah Yahudi itu. – AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment