Berita Harian Online | Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien: TAIPING: Polis mengesyaki ada lebih dua suspek yang dikenali mangsa terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya, di sini petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata siasatan awal polis di tempat kejadian mengesyaki kematian Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang ditemui lemas dengan keadaan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala, tidak dilakukan suspek secara berseorangan.Sehubungan itu, katanya, polis kini melakukan usaha memburu suspek lain yang dipercayai terbabit selepas menahan seorang suspek berusia 18 tahun awal pagi kelmarin dan kini direman tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. Polis juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, jam 4.30 petang Jumaat lalu.
Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.
Yusof berkata, polis juga menolak dakwaan mangsa dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, kelmarin.
Katanya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul mangsa, tetapi gagal apabila mangsa melawan sebelum dipukul dengan objek keras di kepala.
“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam di dalam kolah, selain kesan kecederaan parah di kepala,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment