Pages

Sunday, January 15, 2012

Salah guna ayat suci

AMPANG: Seorang pemilik restoran mamak berdekatan Taman Kosas, di sini, terpinga-pinga ketika menjawab soalan pegawai Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) kerana tidak memiliki logo halal pada restorannya, sedangkan pada masa sama menggunakan ayat suci al-Quran bagi menarik perhatian pelanggan Islam.

Premis itu didapati turut menggunakan beberapa produk makanan dalam tin yang diragui penggunaan logo halalnya.


Ketika pemeriksaan dijalankan semalam, Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya menasihatkan pemilik restoran itu supaya memohon logo halal secara sah dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain restoran itu, LPKPM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memeriksa tiga restoran lain yang didapati tidak memiliki logo halal, selain pemantauan daripada segi aspek kebersihan dan pematuhan syarat lain yang ditetapkan.


Mengulas lanjut perkara itu, Dr Saharuddin berkata, pihaknya mengambil serius penggunaan kalimah suci al-Quran digunakan pemilik restoran yang tidak bertanggungjawab bagi mengelirukan pelanggan Islam supaya memasuki premis mereka.


“Kita tidak mahu ada peniaga cuba mengambil kesempatan dan kita tidak akan berkompromi dalam hal ini, lebih-lebih lagi selepas banyak aduan yang kami terima selama ini.

“Apapun, kita akan sentiasa memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” katanya.


Dr Saharuddin turut menegaskan, pihaknya akan mengemukakan hasil pemeriksaan itu kepada pihak terbabit seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan lanjut.

Kakitangan kerajaan, Ahmad Farhan Ab Karim, 26, berkata usaha memantau restoran dan kedai makanan perlu dilaksanakan dengan lebih tegas.


“Ia penting bagi menjaga hak pengguna, terutama di kalangan orang Islam. Saya setuju jika operasi berterusan diteruskan bukan saja di restoran, bahkan hotel.


“Seperkara lagi, penggunaan logo halal juga perlu diseragamkan dan hanya satu badan berhak mengeluarkan logo berkenaan, iaitu Jakim. Jika tidak, ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya.


Rakannya, pegawai eksekutif perbankan, Ikmal Hisham Mohammad Rom, 25, berkata sewajarnya negara ini mewajibkan semua premis berkaitan menggunakan logo halal memandangkan majoriti penduduk negara ini beragama Islam.


“Selain itu, perlu dipastikan mereka bukan saja menggunakan logo halal, malah sumber makanan juga perlu dipantau,” katanya.

myMetro | Salah guna ayat suci:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment