Pages

Wednesday, January 25, 2012

PM Turki kecam Perancis rasis

Erdogan
ANKARA - Sambil mendakwa Perancis sebagai "rasis", Turki hari ini memberi presidennya amaran keras agar tidak menurunkan tanda tangan untuk mewartakan rang undang-undang baru, yang memperuntukkan sebarang bentuk penafian pembunuhan beramai-ramai rakyat Armenia oleh Empayar Turki ketika Perang Dunia Pertama, sebagai satu kesalahan.
Ankara menyifatkan langkah mewartakan undang-undang itu akan berhadapan dengan kesan buruk ke atas hubungan Turki dan Perancis. Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang itu lewat semalam.
Dalam reaksinya hari ini, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan berkata, rang undang-undang itu digubal akibat sikap "rasis dan diskriminasi" terhadap Turki.
Beliau juga memberi amaran akan mengenakan sekatan-sekatan, yang belum ditetapkan, ke atas Perancis jika rang undang-undang itu diwartkan sebagai akta kelak. Ia dijangka akan menjadi satu akta secara rasmi akhir bulan depan dengan Presiden Perancis ada 15 hari untuk berbuat demikian selepas diluluskan oleh Dewan Senat semalam.
"Bagi kami ia tidak sah," kata beliau Recep Tayyip.
"Kami masih belum hilang harapan bahawa ia boleh dibetulkan," katanya lagi.
Terdahulu, Kementerian Luar Turki juga mengecam keputusan itu dengan berkata, rang undang-undang tersebut tidak harus digubal bagi mengelakkan ia dicatatkan sebagai "kesilapan-kesilapan politik, perundangan dan moral."
Pegawai-pegawai dalam kerajaan Presiden Nicolas Sarkozy terus menegaskan bahawa penggubalan undang-undang itu tidak menyasarkan Turki secara langsung.
Turki, yang melihat dakwaan pembunuhan beramai-ramai sebagai ancaman ke atas maruah kebangsaan, telah pun menggantung hubungan ketenteraan, ekonomi dan politik dengan Paris, dan telah memanggil balik dutanya buat sementara bulan lalu apabila dewan rendah Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang itu.
Ia menegaskan bahawa tidak ada kempen sistematik membunuh rakyat Armenia dan kebanyakan warga Turki juga terkorban ketika kehancuran empayar itu. Ia juga mendakwa jumlah kematian dibesar-besarkan.

No comments:

Post a Comment