Pages

Friday, January 13, 2012

'Pihak asing' bunuh saintis Iran


NEW YORK 12 Jan. - Iran mendakwa memiliki bukti kukuh 'pihak asing' mendalangi pembunuhan pakar-pakar nuklear Iran dan menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk 'perbuatan keganasan' itu.

Duta Iran ke PBB, Mohammad Khazaee, semalam menggesa Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, Majlis Keselamatan dan Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Nassir Abdulaziz al-Nasser mengutuk pembunuhan itu 'dengan sekeras-kerasnya'.

Khazaee dalam surat kepada ketiga-tiga pihak itu, menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'kejam, tidak berperikemanusiaan dan perbuatan keganasan'.

"Terdapat bukti kukuh pihak-pihak asing mendalangi pembunuhan itu.

"Perbuatan keganasan sedemikian dilakukan sebagai usaha untuk menggendalakan program nuklear Iran, berdasarkan andaian palsu diplomasi semata-mata tidak memadai untuk mencapai tujuan tersebut," katanya.

Timbalan pengarah loji pengayaan uranium Natanz di Iran, Mostafa Ahmadi Roshan, kelmarin menjadi pakar nuklear Iran keempat yang dibunuh.

Pihak berkuasa Iran yang menuduh Israel dan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu berkata, kesemua mereka dibunuh dengan bom magnet yang dilekatkan pada kereta yang mereka naiki.

Surat Khazaee kepada PBB tidak menyebut mana-mana negara tetapi beliau berkata, pihak-pihak asing melakukan apa sahaja untuk memastikan Republik Islam Iran dinafikan haknya yang mutlak untuk menghasilkan tenaga nuklear bagi kegunaan awam.

"Iran tidak akan bertolak-ansur berhubung haknya yang mutlak untuk menggunakan tenaga nuklear bagi kegunaan awam dan sebarang tekanan politik atau ekonomi atau serangan pengganas ke atas saintis nuklear Iran tidak akan menghalang negara kami daripada menunaikan hak itu," katanya.

Sungguhpun AS dan Israel lantang mengutuk program nuklear Iran, Washington menafikan peranannya dalam pembunuhan itu manakala Israel mendakwa tidak mengetahui siapa terlibat. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment