Pages

Saturday, January 28, 2012

Pengasas PIP dibebas




Gambar fail bertarikh 17 Januari lalu di La Seyne-sur-Mer, selatan Perancis merakamkan Jean-Claude Mas memegang implan payu dara keluaran syarikatnya. - AFP


MARSEILLE 27 Jan. - Pengasas syarikat implan payu dara, Poly Implant Prothese (PIP), Jean-Claude Mas hari ini dibebaskan selepas ditahan polis semalam dan berdepan dakwaan mencederakan tanpa niat.
Doktor di Perancis melaporkan terdapat 20 kes kanser di kalangan wanita yang memakai implan jenama itu, 16 daripadanya menghidap kanser payu dara, walaupun belum disahkan sama ada ia berkaitan dengan pemakaian produk tersebut.
Peguamnya, Yves Haddad berkata, Mas mungkin tidak akan disiasat atas dakwaan menyebabkan kematian seperti yang dijangka dan dia kini diletakkan di bawah pengawasan mahkamah.
Katanya, anak guamnya dibebaskan sehari selepas disoal siasat oleh seorang hakim dan siasatan rasmi mungkin mendorong kepada tuduhan jenayah yang hukumannya lebih berat berbanding kes penipuan yang sedang dihadapi Mas ketika ini.
Awal tahun ini, beberapa maklumat polis yang bocor menunjukkan Mas mengakui melakukan penipuan mengenai kualiti implan PIP, sekali gus mendatangkan kemarahan masyarakat umum terhadapnya.
Mas yang menjual kira-kira 300,000 implan di seluruh dunia, didapati menggunakan silikon yang tidak diluluskan, namun dia menafikan produknya itu mendatangkan bahaya kepada kesihatan pengguna.
Perbicaraan kes penipuan itu dijangka diadakan pada Oktober ini.
Mas dan bekas ketua eksekutif PIP, Claude Couty sebelum ini disoal siasat polis yang turut menggeledah rumah tertuduh.
Mereka kemudiannya ditahan polis di bandar pelabuhan Mediterranean atas arahan pendakwa raya Jacques Dallest.
Mas dan Couty boleh ditahan sehingga 48 jam sementara hakim mempertimbangkan untuk membuka kertas siasatan rasmi dengan syarat ikat jamin dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.
Pihak berkuasa Perancis sebelum ini dikritik ekoran reaksi yang lambat terhadap kes itu yang mendatangkan kebimbangan terhadap wanita yang menggunakan implan PIP. - REUTERS

No comments:

Post a Comment