Pages

Thursday, January 26, 2012

Penduduk Haditha tak maaf askar Amerika

WUTERICH tiba untuk sesi penghakiman di Camp Pendhleton, California bersama peguam bela, Meridith Marshall.
WUTERICH tiba untuk sesi penghakiman di Camp
Pendhleton, California bersama peguam
 bela, Meridith Marshall.
Pegawai beri arahan bunuh 24 warga Iraq dipenjara 3 bulan 

HADITHA: Penduduk Haditha dan sanak saudara 24 warga Iraq yang dibunuh di sini oleh sekumpulan askar Amerika Syarikat menyuarakan rasa terkejut dan meluahkan kebencian terhadap hukuman ringan ke atas pegawai tentera Amerika yang memberi 'lampu hijau' kepada keganasan itu.
Peguam mangsa berikrar meneruskan kes itu sementara seorang doktor di hospital pekan ini menegaskan, penduduk Haditha tidak mungkin melupakan kejadian pembunuhan orang awam pada November 2005 itu.
“Ini adalah serangan menumpah darah rakyat Iraq. Hukumannya untuk jenayah kecil. Tetapi, membunuh 24 orang yang tidak berdosa dan hanya menerima hukuman tiga bulan? Ini menghina kemanusiaan.” keluh peguam dan ahli majlis perbandaran Haditha, Khalid Salman. 

Komennya dibuat selepas Staf Sarjan Frank Wuterich mengaku salah Isnin lalu atas kesalahan cuai dalam tugas dan hukuman maksimum adalah penjara tiga bulan. 

Wuterich juga diturunkan pangkat ke prebet dan dihukum tahanan selama 90 hari tetapi tidak dipenjarakan mengikut persetujuan awal sebelum perbicaraan. 

Seorang doktor, Ayad Ghazi Musleh bersetuju dengan pandangan Khalid. Seorang mangsa terselamat, kanak-kanak perempuan bernama Hind, hanya memandang. 
Pakar bedah di hospital Haditha itu berkata, keputusan terhadap Wuterich mengingatkannya kepada seorang mangsa, Aida Ahmed, pesakit yang beliau bedah sebelum kejadian pembunuhan beramai-ramai itu. 

“Dia masih dalam rawatan dan dibunuh di katilnya. Saya tidak dapat lupakan pembunuhannya,” kata Ayad Ghazi. 

Dakwaan membunuh digugurkan sebagai sebahagian daripada perjanjian mengaku salah Wuterich, yang mengetuai sekumpulan tentera dengan askar lain yang terbabit dalam kejadian itu terlepas daripada hukuman. 

“Penduduk Haditha sangat tertekan terutama keluarga mangsa, keluarga mangsa tidak bersalah yang dibunuh tanpa sebab,” kata wartawan televisyen satelit al Anbar yang berpejabat di Haditha, Assem Omar al-Hadithi. 

“Kami tidak mahu cakap mengenai permohonan maaf dan kebaikan, apa yang kami mahu adalah keadilan,” kata Omar yang dilahirkan di sini. 

Dalam kejadian itu, 24 rakyat awam Iraq terbunuh termasuk 19 dibunuh di beberapa rumah bersama lima lagi lelaki yang dikerah keluar kenderaan ketika tentera laut mengadakan rondaan pada 19 November 2005. 

Mangsa termasuk 10 wanita atau kanak-kanak yang ditembak rambang. Enam lagi dibunuh dalam satu rumah, kebanyakan ditembak di kepala termasuk wanita dan kanak-kanak yang bersesak-sesak dalam bilik. 

Wuterich menyuarakan kesedihan selepas menerima hukuman tetapi menegaskan beliau bukanlah pembunuh kejam bayi. 

Tujuh lagi tentera laut yang didakwa dalam kes itu dilepaskan menerusi pelbagai penghakiman perundangan, yang turut menambah kemarahan di Iraq di mana pihak berkuasa mendesak pasukan Amerika tertakluk kepada keadilan di Iraq sebelum Amerika menarik pasukannya pada Disember. 

“Saya tidak akan memaafkan mereka. Begitu juga dengan anak lelaki dan cucu saya,” kata kakitangan kerajaan, Awous Famih Hussein, 45, yang tinggal berdekatan jalan tempat bom diletupkan pada November 2005 yang membunuh seorang askar Amerika sebelum tentera laut mengamuk di Haditha yang didiami 80,000 orang. 

Awous Famih berkata, sudah lama dia mahu meninggalkan pekan itu untuk melenyapkan kenangan pahit pembunuhan tetapi tidak cukup wang untuk berpindah. 
“Sudah lama saya memikirkan untuk berhijrah ke Syria meninggalkan kesemuanya dan membawa keluarga,” katanya yang menceritakan yang beliau sudah bersedia untuk meninggalkan negaranya.– AFP. 

No comments:

Post a Comment