Pages

Wednesday, January 18, 2012

PBB latih pasukan pemantau


Beberapa orang anggota Tentera Pembebasan Syria (FSA) mengibarkan bendera baru Syria di kediaman Khalidiya di bandar Homs pada 13 Januari lalu. – AFP


GENEVA 17 Jan. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mengumumkan akan mula melatih pasukan pemantau Liga Arab yang ditugaskan di Syria pada hujung minggu ini.
Jurucakap PBB, Vannina Maestracci berkata, satu permohonan rasmi telah dibuat oleh Liga Arab kepada badan dunia itu dan mereka telah bersetuju untuk memulakan latihan tersebut pada hujung minggu ini yang akan diadakan di Kaherah.
Latihan itu akan dikendalikan oleh kakitangan Suruhanjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) PBB, menurut Maestracci.
“OHCHR telah bersetuju untuk melatih pasukan pemantau tersebut dan ia akan diadakan di Kaherah,” katanya.
Satu laporan oleh misi pemantau akan dihantar kepada menteri-menteri Liga Arab pada Khamis ini dan kumpulan menteri itu akan bersidang di Kaherah pada hari Sabtu bagi memutuskan masa depan misi tersebut.
PBB pada awal bulan ini telah menyuarakan kesediaan untuk membantu misi pemantau di Syria yang berdepan kritikan daripada pembangkang di negara itu, tetapi memberitahu sedang menunggu permohonan daripada Liga Arab.
Maestracci, bagaimanapun menolak untuk memberikan butiran mengenai jumlah pemantau dan pakar dari PBB yang akan terlibat dalam latihan itu nanti.
Menurut PBB, sekurang-kurangnya 5,400 orang terbunuh di Syria sejak Presiden, Bashar al-Assad melancarkan tindakan kekerasan ke atas tunjuk perasaan sejak Mac tahun lalu. – AFP

No comments:

Post a Comment