Pages

Thursday, January 19, 2012

Mustaffa tiba ke destinasi larian di Seremban




MUSTAFFA Kamal Abdul Karim berlari secara solo sambil diiringi pembantunya, Mohd Rozi Haid, 57, (bermotosikal) ketika tiba di pekarangan Wisma UMNO negeri di Seremban, semalam.


SEREMBAN 18 Jan. - Faktor usia bukan penghalang bagi Mustaffa Kamal Abdul Karim, 53, untuk merealisasikan hasratnya berlari secara solo sejauh 2,500 kilometer mengelilingi Semenanjung.
Sebaliknya, berteraskan azam serta semangat yang tinggi, pesara tentera itu bertekad untuk melengkapkan larian tersebut dengan merentas 12 negeri dalam tempoh dua bulan bermula 31 Disember lalu yang dijangka berakhir hujung Februari ini.
Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, tujuan utama larian itu diadakan adalah bagi membolehkan beliau memupuk semangat cintakan bangsa, agama dan negara khususnya di kalangan generasi muda.
"Sesuai dengan moto larian Seruan Bangsa Merdeka, saya berharap ia akan memberikan impak kepada masyarakat agar tidak lupa terhadap pengorbanan serta jasa pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan, perpaduan dan kesejahteraan negara.
"Paling utama saya mahu menyemai serta mengingatkan generasi muda supaya tidak menggadaikan masa depan negara gara-gara terpengaruh dengan unsur negatif serta gejala sosial," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas tiba di destinasi ke-20 di bandar ini hari ini.
Menceritakan pengalaman berlari hampir 19 hari bermula dari Pulau Pinang, Mustaffa Kamal memberitahu, dia berlari sejauh 40 hingga 50 kilometer setiap hari.
"Tanpa mengira cuaca panas atau hujan, saya tetap akan berlari sehingga sampai ke destinasi yang ditetapkan.
"Larian ini hanya dirancang pada November tahun lalu dan saya memilih 31 Disember untuk memulakan larian itu kerana ia jatuh pada 1 hijrah dalam kalendar Islam," ujarnya yang turut diiringi oleh dua pengiring sepanjang lariannya itu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Pantai Kampung Gajah, Pulau Pinang berkata, larian berkenaan tidak bertujuan untuk mencari keuntungan dan tidak menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak.
"Saya berlari demi kepuasan dan moto perjuangan yang saya bawa," katanya yang turut menjelaskan kekuatan minda serta berkat izin daripada Allah SWT diharapkan dapat membantunya melengkapkan larian berkenaan.
Mustaffa Kamal telah memulakan lariannya dari Pulau Pinang sebelum melalui Parit Buntar, Kemunting, Kuala Kangsar, Ipoh, Seri Iskandar, Kampung Gajah, Teluk Intan, Hutan Melintang, di Perak seterusnya memasuki Sg Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Telok Panglima Garang, Banting, Dengkil, Putrajaya, Semenyih di Selangor sebelum merentasi Mantin dan tiba di sini hari ini.
Dia dijangkakan singgah ke beberapa daerah di negeri ini sebelum memasuki Johor dan kemudiannya ke Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kedah seterusnya mengakhirinya di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment