Pages

Monday, January 30, 2012

Monyet, babi hutan tertipu

PORT DICKSON: “Sudah habis cara kami lakukan untuk menghalau monyet liar dan babi hutan, sehinggalah seorang rakan memberi idea supaya meletakkan ‘harimau’ di laman rumah,” kata Norehan Nordin, 55, yang meletakkan patung harimau di hadapan rumahnya bagi menghalau haiwan liar itu daripada mengganas dan merosakkan tanaman di kebunnya di Kampung Telok Pelandok, di sini.

Lebih mengejutkan, idea itu ternyata berkesan apabila ratusan monyet liar tidak lagi menghampiri kawasan rumahnya kerana bimbang ‘dimakan’ harimau itu.


“Tidak sangka idea ini berkesan berikutan monyet liar lari bertempiaran selepas melihat patung harimau itu dan tidak lagi berani menghampiri rumah dan tanaman kami.

“Saya bercadang mahu ‘membela’ lagi harimau kemudian diletakkan di seluruh rumah bagi menakutkan monyet dan babi hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Norehan berkata, patung harimau itu perlu dipilih dengan betul iaitu mulutnya mestilah terbuka seperti sedang mengaum supaya kelihatan garang dan saiznya mestilah sama dengan harimau sebenar.


“Saya mengetahui taktik itu sebaik diberitahu pekedai di Ayer Itam, Johor, yang menyarankan saya membeli patung harimau mulut terbuka.


“Walaupun harganya mencecah RM120 seunit, namun berbaloi untuk menakutkan monyet yang sentiasa ada di sekitar rumah. Jika tidak, kawasan lapang hadapan rumah menjadi tempat haiwan itu berkeliaran,” katanya.


Menurut suaminya, Abu Bakar Yusof, 58, rumah itu peninggalan ayahnya sejak 50-an dan menjadi tempat berkumpul monyet liar.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, monyet berkenaan membiak hingga kadang-kadang boleh mencapai beribu ekor hingga menakutkan cucu saya,” katanya. Abu Bakar berkata, sejak rumahnya meletakkan harimau itu, ia menjadi ikutan kepada jiran yang turut meletakkan patung harimau di halaman rumah mereka.


“Dulu jika kami leka, monyet akan masuk ke dalam rumah dengan membuka pintu kemudian memakan makanan yang diletakkan di atas meja.


“Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan sesuatu berikutan sudah beberapa kali aduan dibuat ke jabatan itu, namun tiada tindakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment