Pages

Wednesday, January 18, 2012

Lee pertahan gaji tinggi menteri

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, semalam berkata dia mungkin mendapat gaji lebih tinggi berbanding Barack Obama, tetapi Presiden Amerika Syarikat itu mempunyai pelbagai kelebihan, seperti perjalanan percuma menaiki pesawat Air Force One dan percutian di Camp David.
Mempertahankan kadar gaji tinggi di kalangan menteri Singapura, Lee berkata, negara itu tidak boleh mencontohi struktur gaji lebih rendah di negara lebih besar seperti AS atau Britain.

Parti Tindakan Rakyat yang membentuk kerajaan Singapura bersikap defensif sejak pilihan raya umum Mei tahun lalu apabila pembangkang mengkritik skim gaji pegawai kanannya.

Lee, 59, berjanji mengkaji semula struktur gaji semasa bagi mengurangkan kemarahan rakyat dan cadangan sebuah jawatankuasa bagi memotong peruntukan itu sekurang-kurangnya satu per tiga.

Bagaimanapun, menteri Singapura kekal menjadi antara penerima gaji tertinggi di dunia.

Lee menerima gaji RM5.4 juta setahun walaupun selepas dipotong 36 peratus mengikut skala bayaran yang disemak semula.


Jumlah itu lebih empat kali ganda berbanding gaji Obama sebanyak RM1.3 juta setahun.

Kata Lee, memang Obama menerima bayaran lebih rendah berbanding dirinya.

“Namun, penghuni Rumah Putih menggunakan Air Force One, tinggal di rumah berkenaan dan bercuti di Camp David,” katanya di Parlimen, semalam.

Air Force One adalah pesawat rasmi Presiden AS, manakala Camp David adalah pusat percutian di negara itu.

Lee berkata, Presiden AS juga menerima berjuta-juta dolar selepas bersara.

“Apa yang perlu dilakukan cuma tampil sesekali, membuat sedikit kenyataan dan menerima ratusan ribu dolar pada satu-satu masa,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment