Pages

Sunday, January 8, 2012

Lawat rakan FB terapi berkesan

LAMAN Facebook menunjukkan misi Presser temui rakan sosialnya.
LAMAN Facebook menunjukkan misi Presser temui rakan sosialnya.
Novelis cinta habis RM96,000 kunjungi 11 negara atasi fobia

LOS ANGELES: Seorang wanita mengambil keputusan mengembara ke seluruh dunia untuk menemui semua 324 rakan Facebook dikenalinya, semata-mata mahu mengatasi masalah beliau yang takut kepada ruang terbuka, kesibukan dan situasi tidak terkawal.
Arlynn Presser, seorang penulis novel kisah cinta berusia 55 tahun dan ibu kepada dua orang anak, memenuhi azam tahun lalu untuk mengatasi darah gemuruh yang menyebabkan beliau mudah panik atau dalam takrif saintifik disebut ‘agarophobia’.
Apabila masalah itu berlaku, Presser akan berpeluh dan sukar bernafas, manakala dadanya menjadi sakit seolah-olah diserang penyakit jantung.

“Saya memang takut melakukan perjalanan termasuk menaiki kapal terbang. Malah, saya takut melakukan apa saja aktiviti di luar rumah.

“Oleh sebab itu, saya menggunakan laman Facebook untuk menjalin hubungan dengan rakan. Ia mungkin sesuatu yang baik tetapi pada masa sama tiada jaminan perasaan selamat dalam diri saya ketika itu akan berkekalan.

“Saya akan menemui semua rakan di Facebook dan saya menjangka akan mengalami banyak kejutan,” katanya yang dipetik laman web berita Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC).
Ketika menceritakan bagaimana mendapat idea untuk menemui rakan Facebook, Presser berkata: “Saya memutuskan untuk melakukan sesuatu yang dapat mengubah rutin hidup tetapi tidak tahu bagaimana. Saya tahu apa perlu dilakukan selepas berbual dengan seorang rakan Facebook yang baru berpisah dengan kekasihnya.

“Dia berasa begitu murung hingga menyebabkan saya memutuskan untuk menemuinya bagi memulihkan keyakinan dirinya. Itulah yang memberi idea kepada saya untuk menemui rakan Facebook,” katanya.

Dalam tempoh setahun lalu, Presser sudah menemui 292 rakannya dan mengembara ke 11 buah negara. Bersama anak lelakinya Joseph, 23, beliau mengunjungi Korea Selatan, Filipina, Taiwan, India, Itali, Austria, Jerman dan England.

Beliau juga mengembara ke seluruh Amerika Syarikat dan Mexico. Presser masih mengalami panik, tetapi Joseph sentiasa bersama untuk menenangkannya supaya masalah itu diatasi.

Perjalanan sepanjang tahun itu menelan belanja AS$30,000 (RM96,000). Apapun, bagi Presser, ia sesuatu yang berbaloi untuk dilakukannya.

“Saya perlukan sedikit masa untuk menangani masalah ini, tetapi apa yang penting, saya memperoleh semula kehidupan seperti yang diinginkan,” katanya. – Agensi Berita Harian Online | Lawat rakan FB terapi berkesan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment