Pages

Monday, January 2, 2012

Lagi sekatan AS ke atas Iran


HONOLULU/TEHERAN 1 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meluluskan sekatan baru terhadap Iran semalam, sejurus selepas Teheran berkata, ia bersedia untuk mengadakan rundingan baru dengan Barat berhubung program nuklearnya dan telah menangguhkan ujian peluru berpandu jarak jauh di Teluk.

Ketegangan antara Iran dengan kuasa Barat meningkat sejak para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bertekad untuk mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Teheran sebelum akhir bulan ini dalam usaha untuk memaksanya menghentikan program penyelidikan yang disyaki bertujuan untuk membangunkan senjata nuklear.

Tanpa mandat baru daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sudah pun mengenakan empat pusingan sekatan global, Washington bertindak untuk meningkatkan tekanan dengan sekatan ke atas institusi-institusi kewangan yang berurusan dengan bank pusat Iran.

Rang undang-undang pembiayaan pertahanan yang ditandatangani oleh Obama semalam, setelah diluluskan oleh Kongres pada minggu lalu, bertujuan untuk mengurangkan hasil minyak yang merupakan peratusan besar daripada pendapatan eksport Iran.

Jika dikuatkuasakan dengan ketat, sekatan tersebut akan menjadikan hampir mustahil untuk kebanyakan syarikat penapis minyak membeli minyak mentah daripada Iran, pengeluar keempat terbesar di dunia.

Bagaimanapun, Obama meminta kelonggaran untuk mengenakan sekatan itu secara fleksibel, dan beliau mempunyai budi bicara untuk mengenepikan sekatan.

Pegawai kanan AS berkata, Washington berunding dengan rakan-rakan di kalangan negara asing untuk memastikan sekatan baru itu tidak menjejaskan pasaran tenaga antarabangsa.

Iran bertindak balas terhadap tekanan yang meningkat dengan memberi amaran, ia boleh menutup Selat Hormuz jika sekatan dikenakan ke atas eksport minyaknya.

Teheran menunjukkan kekuatannya dengan melancarkan latihan perang tentera laut selama 10 hari di Teluk Parsi, termasuk menjalankan ujian peluru berpandu 'jarak sederhana' darat ke udara hari ini, dalam tindakan yang mencemaskan pasaran minyak dan menyebabkan harga minyak mentah naik.

Sebelum ini, Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz hanya jika diserang oleh AS dan Israel. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment