Pages

Monday, January 30, 2012

Kitab Tib rahsia kearifan Melayu

pix_gal0Berita Harian Online | Kitab Tib rahsia kearifan Melayu:Pelbagai ilmu perubatan Melayu berserta ramuan dan kaedah pengubatan dirincikan

BANGSA Melayu sejak dulu sudah memiliki pengetahuan dalam ilmu perubatan dan secara umum sebahagian besar maklumat dalam bidang ini ditulis dalam tulisan jawi dengan manuskrip yang dikenali sebagai Kitab Tib, iaitu pinjaman daripada bahasa Arab bermaksud ilmu mengenai ubat-ubatan.


Hampir kesemua kandungan Kitab Tib merujuk kepada perubatan, tabib, penyakit dan ubat, tetapi dalam kebanyakan teks, Kitab Tib juga mengandungi pelbagai ilmu termasuk ilmu perubatan, ilmu ramalan rejang, manakala pecahan kecil dalam kitab ini ialah ilmu kesihatan diri, analisis mimpi, ilmu falak dan hubungannya dengan mengenal serta mengubati penyakit.
Jika puisi Melayu tradisi seperti pantun adalah petanda kearifan orang Melayu dalam ilmu geografi, Kitab Tib pula adalah himpunan kebijaksanaan orang Melayu dalam ilmu perubatan dan penjagaan diri. - Dr Harun Mat Piah, Bekas Mualim Tamu PNM
Tidak ketinggalan, perkara berhubung pengubatan masalah tenaga syahwat, ilmu berahi dan pemulihan serta menguatkan tenaga batin turut didokumentasikan dalam Kitab Tib.

Perkara ini yang dibangkitkan Mantan Mualim Tamu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dr Harun Mat Piah, ketika membincangkan Kitab Tib Sebagai Wadah Ilmu dan Kearifan Orang Melayu pada Siri Wacana Manuskrip Melayu di PNM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Jika puisi Melayu tradisi seperti pantun adalah petanda kearifan orang Melayu dalam ilmu geografi, Kitab Tib pula adalah himpunan kebijaksanaan orang Melayu dalam ilmu perubatan dan penjagaan diri,” katanya yang turut mendedahkan 80 manuskrip yang tergolong dalam kategori Kitab Tib tersimpan di seluruh dunia termasuk 40 daripadanya di PNM.

Bakinya menjadi hak milik individu, organisasi dan kerajaan negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei hinggalah negara barat seperti Belanda, Britain selain Perancis, manakala antara Kitab Tib yang terkenal ialah Tajul Muluk dan Kitab Tib Pontianak.
“Kearifan orang Melayu dalam dunia perubatan sangat jelas jika kita mengkaji Kitab Tib. Seolah-olah setiap bomoh atau pawang itu lepasan sekolah perubatan. Ilmu pengubatan untuk sesuatu penyakit hampir sama dengan ubat-ubatannya, sukatan dan cara menghasilkan ubat juga dibuat dengan ukuran standard,” jelasnya.

Kehadiran Kitab Tib yang menjadi warisan berharga bangsa Melayu hari ini jelas menunjukkan wujudnya pelbagai bidang ilmu yang dipelajari masyarakat dengan sebahagian besarnya dirakam dalam naskhah lama dengan kebanyakan jenis ilmu terbabit mempunyai konsep dan kaedah penyampaiannya tersusun.

Meskipun Kitab Tib kurang seninya daripada segi bahasa atau penampilannya berbanding manuskrip sastera atau sejarah, tetapi isi kandungannya relevan, malahan kandungannya yang kekal menjadi petua berkesan sehingga terus diamalkan generasi hari ini.

Buktinya, pantang larang tidak boleh makan daging untuk mereka yang buasir, jangan makan telur bagi mereka yang sakit mata dan madu asli sebagai penawar mujarab untuk masalah batuk, masih menjadi amalan sebahagian besar bangsa Melayu hari ini.

“Yang menjadi masalah ialah bahasa yang digunakan dalam Kitab Tib. Kebanyakan bahasanya Melayu lama dan ditulis berdasarkan zamannya. Justeru bahasanya sedikit sukar difahami orang kebanyakan, manakala ada beberapa ramuan ubat yang mungkin sukar dicari. Justeru, pada logiknya perubatan moden lebih sesuai dan menjimatkan masa,” ujarnya.

Dr Harun turut berkongsi dengan khalayak wacana bahawa tidak semua Kitab Tib ditulis dalam bentuk catatan perubatan kerana ada sesetengah kandungan Kitab Tib ditulis dalam bentuk syair dan hikayat, misalnya Syair Laksana Kita, Syair Bahr An-Nisa dan Hikayat Nurul Lisan.

“Satu lagi pecahan kecil dalam Kitab Tib ialah ilmu jimak, iaitu perkara yang berkaitan dengan hubungan intim suami isteri. Ilmu ini disebut juga sebagai ilmu berahi atau ilmu syahwat. Ia bukan pendidikan seks ala barat, tetapi pendidikan berhemah dalam masa sama memberi didikan kepada amalan penjagaan kesihatan diri. Misalnya dalam Kitab Kanz al-Ikhtisas disebut tentang jika jimak terlalu banyak dilakukan, ia memberi mudarat daripada manafaat,” katanya.

Dalam Kitab Hayawat al-Haiwan pula ilmu berahi ditampilkan sebagai, ‘empat perkara yang mendaifkan badan dan menyegerakan tua, pertama banyak jimak, kedua banyak citaan hati (terlalu bercita-cita tinggi tidak sepadan usia), ketiga banyak minum air pagi-pagi serta keempat banyak makan yang masam.

Kitab Syaikh Razak al-Maki pula menyebut, ‘tiga perkara yang menyegerakan rukuh badan dan mendaifkan dia, pertama menjimak perempuan yang sangat tua, kedua tidur pada ketika sangat kenyang, ketiga memasukkan di dalam jimak tatkala kenyang perut’.

Begitupun, apa yang paling menarik dalam Kitab Tib bagi Dr Harun ialah kaedah pembicaraan kitab itu dengan setiap jenis penyakit, rawatan, ubat-ubatan, penggunaan bahan, sistem sukatan dan timbang ramuan ubat, proses pembuatan ubat dan pantang larangnya hampir sama dalam kebanyakan kitab.

“Selain itu dalam ilmu perubatan Melayu, unsur pantang larang iaitu kalau berubat mesti ada pantangnya dan kalau langgar pantang akan bentan. Justeru ada konsep makanan berangin atau sejuk dalam ilmu perubatan Melayu. Namun, apa yang menarik kearifan orang Melayu sangat menyerlah kerana kalau sudah bentan, ilmu perubatan Melayu ada pula ilmu untuk menangani bentan,” katanya.

Sungguhpun demikian, Dr Harun tidak menafikan kearifan orang Melayu bukan saja dirakam dalam Kitab Tib, tetapi juga karya sasteranya dan ratusan jenis ilmu, dalam semua bidang mahupun peringkat, selain wujud serta subur berkembang dalam semua zaman.

“Bagaimanapun, meskipun secara keseluruhan direkodkan ada 22,000 naskhah manuskrip Melayu di seluruh dunia, namun hanya separuh daripadanya berada di Malaysia, manakala sebahagian lagi berada dalam simpanan negara asing,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment